Ada nampak mummy happy?
Cerita antara dua darjat melibatkan kaum Melayu masih sama, seabad selepas penulisan Munshi Abdullah.
Menurut mummy, “Maaf ia tidak berlaku, sebaliknya hari ini para ulama dan mufti menjadi tukang sah atau pengecap mohor pemerasan”.
Apabila saya melawat mummy lewat 2 hari lalu, saya hanya mahu bertanya khabar. Tetapi mummy menjawab polos dan sangat terkesan, juga penuh dendam – “Ada nampak mummy happy?”
Pandangan mummy di atas adalah relevan kerana apabila kita membaca dokumen perjalanan atau pelayaran Munshi Abdullah ke Pantai Timur di hujung abad ke-19 dan kemudian kita membaca pula buku kajian Muhammed Abdul Khalid berjudul “The Colour of Inequality” yang terbit pada 2014 (dalam bahasa Melayu, “Antara Dua Darjat”), kita akan mendapati nasib orang Melayu (justeru Islam) sejak 100 tahun yang lalu tidak mengalami apa-apa perubahan.
Padahal, tambah mummy, terdapat solusi atau penawar yang diketengahkan Islam seperti pengagihan zakat, dan peruntukan mengenai wakaf yang sepatutnya mencegah kemiskinan, kemelaratan dan juga ketidaktentuan hidup.
Mummy beranggapan apabila Munshi menulis memperihalkan kegawatan orang Melayu di Kelantan dan Trengganu pada hujung kurun ke-19, mummy sangat tidak dapat membayangkan mengapakah negeri yang bercendawankan pondok pengajian dan madrasah tidak menawarkan apa-apa penyelesaian untuk kaum murbawan yang ditindas kaum bangsawan.
Atau memberi bantuan penuh kepada kaum perempuan yang kerana kesempitan hidup terpaksa melacur. Di mana kelas ulama ketika Melayu tidak happy ditindas bangsawan?
Hal yang sama kita rasakan selepas membaca buku Muhammed Khalid yang sekarang terkenal setelah debat bajetnya di televisyen. Mengapakah sepanjang tempoh Melayu tidak bertongkat serta diabaikan British dan kaum bangsawan Melayu itu tiada apa-apa peranan ulama yang menggerakkan ekonomi?
Pertanyaan mummy mudah; apakah boleh kita menghujahkan mereka, kaum atau kelas agamawan tidak pandai berdagang dan tidak kreatif berfikir menggunakan wang zakat sedang di masjid, dalam khutbah mereka, dilaung-laungkan perihal Rasulullah seorang saudagar yang bijaksana dan adil sehingga menawan hati hartawan seperti Khadijah.
Sumpah keturunan
Oleh kerana itu, mummy merungkaikan satu misteri kenapa orang Melayu mengalami sumpah 7 keturunan yang mana mereka terperuk dan terperosok dalam lembah kehinaan ekonomi, mahupun sosial.
Kata mummy, kelas agamawan sebetulnya adalah sekutu rapat, atau muka sebelah kepada satu keping syiling yang kita panggil pakej penindas. Merenung sejarah, kita akan mendapati kelas agamawan ini adalah pengukuh pemerasan, pendokong ketidakadilan, dan tukang sokong diskriminasi kaum feudal Melayu sejak dahulu kala.
Gagasan mummy itu bukan hujah kosong.
Saya terhimbau satu seminar bernama “Seminar Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu: Sumbangan dan Peranan Mufti Dalam Kegemilangan Tamadun Alam Melayu” pada 2015, di mana Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menulis bersama-sama Mohd Syukri Yeoh Abdullah dan Muaamar Ghaddafi Hanafiah membentangkan sebuah makalah berjudul “Peranan Dan Sumbangan Syakh Al-Islam / Qadi Al-Malik Al-Adil / Mufti Dalam Pembinaan Kegemilangan Tamadun Kesultanan Di Alam Melayu”.
Ketiga-tiganya ketika memperihalkan kedudukan Mufti di alam Melayu telah memetik kata-kata Al-Suyuti sebagai hujah penguat bahawa ulama harus bersama bangsawan dan penguasa tidak kira apa pun yang berlaku. Justeru mereka mengkesampingkan keadilan sosial dan hak asasi manusia mengatasi kejahatan dan kezaliman.
Petikan tulisan mereka diturunkan di sini:
“Pengalaman sejarah Alam Melayu turut mencatatkan para Syakh al-Islam/Qadi al-Malik al-Adil/mufti bertugas melakukan penasihatan terhadap Sultan dan para pembesar dalam pemerintahan sesebuah Kerajaan Melayu. Ini bersesuaian dengan pesan Rasullulah s.a.w: Sultan (penguasa) adalah bayangan Allah di atas permukaan muka bumi, berlindung kepadanya semua hamba-Nya yang dizalimi. Jika dia bertaubat adil akan mendapat pahala dan wajib ke atas rakyat bersyukur. Jika dia jahat dan zalim akan mendapat dosa dan wajib ke atas rakyat bersabar. Jika para pembesar (menteri) zalim akan kering langit (kemarau), dan jika zakat terhalang (tidak dikeluarkan) akan musnahlah haiwan ternakan, jika zina berluasa akan melata kemiskinan dan kemelaratan, dan jika perjanjian dicabuli akan dihinakan oleh orang-orang kafir (dikuasai oleh mereka) (Jalaluddin Abd Rahman Al-Suyuti, 1994/1414H. juz 6:35).”
Perhatikan argumen mereka berbentuk penegasan bahawa pemerintah adalah wakil Allah di muka bumi, malah bukan setakat wakil, mereka adalah bayangan Allah.
Justeru jika mereka adil mereka wajib disyukuri, dan jika mereka jahat, anjurannya adalah rakyat wajib bersabar.
Selepas 100 tahun
Inilah latar belakang hampa sedih yang kita baca dalam Pelayaran Munshi Abdullah, mahupun “The Colour of Inequality”, satu rentas masa lebih 100 tahun antara 2 dokumen sosio-ekonomi orang Melayu.
Inilah sebabnya meski dikatak-kotakkan bertahun-tahun lamanya, orang Islam di alam Melayu tidak bangkit merubah apa-apa.
Pakej penindasan yang dihadapi orang Melayu terlalu agung dan hebat kerana ia melekat pada satu tubuh, kelas agamawan yang mendokong kaum bangsawan.
Hal yang diungkapkan mummy ini bukanlah insiden terpisah. Contoh lain dari alam Melayu untuk menunjukkan bagaimana kelas agamawan ini membantu membenihkan Islam apa yang pernah saya sentuh sebagai “Islam Parameswara” adalah menerusi Raja Ali Haji, seorang ulama yang berkuasa di Riau pada hubung abad ke-18.
Raja Ali Haji, sebagai contoh dengan cekapnya menggunakan acuan ini untuk meneguhkan lagi kelangsungan “Islam Parameswara”.
Dalam kitab karangannya “Thamaratu’l- Muhimmah Diyafah li’l-Umara’ I wa’l- Kubara’i Li-Ahli al-Mahkamah” yang berpengaruh di Riau dan seluruh alam Melayu, ulama ini menekankan ketidakadilan, dalam konteks hari ini, pencabulan hak asasi manusia serta perbezaan kelas; bukanlah faktor yang membolehkan seorang pemerintah diketepikan. Pendek kata, wala’ adalah kata kuncinya.
Satu-satu alasan sah untuk menanggalkan kekuasaan daripada seorang pemerintah hanyalah apabila beliau meninggalkan agama Islam.
Jika keadaan terus mendesak, penguasa tersebut boleh diturunkan tetapi kuasa politik harus dikekalkan di tangan penguasa, dan bukannya rakyat.
Raja Ali Haji secara terangan menegaskan keadilan adalah terpilih, memandangkan penguasa terkecuali dari sebarang hukum.
Keluhan mummy bahawa hidup hari ini sangat jahanam dan menekan, sehingga mummy tidak dapat bersabar lagi lalu meletus tempik sosial beliau, “ada nampak mummy happy?”, sebenarnya merupakan derik himpit atau resah tersesah seluruh umat Melayu dan bukan Melayu.
Ya, bukan orang Melayu sahaja terhenyak, yang bangsanya bukan Melayu juga terbentak asalkan kita dalam kelas murbawan. Kita sama-sama terbedal, dan terbebal. Yang kaya kian berharta kaya.
Saya pulang dari rumah mummy dengan ingatan tegas betapa 2 karangan sarjana menunjukkan, bahawa antara Pelayaran Munshi Abdullah, dan The Colour of Inequality, satu rentas masa lebih 100 tahun, tiada apa-apa ganjakan terjadi.
Lebih parah, pewaris Nabi atau kelas agamawan merupakan pengukuh nestapa bangsa dan umat ini.
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.