Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Masalah sikap punca graduan sukar dapat kerja?

November 19, 2017

Bukan sikap graduan atau anak muda yang salah semata-mata, tetapi sikap mereka yang mempunyai kuasa juga harus dipersalahkan. Sikap menafikan 'tekanan-tekanan' yang menyebabkan graduan/anak muda berkelakuan di luar norma.

KOMEN

graduan_kerja_1

Oleh Rahman Imuda

Saya berpeluang menghadiri sebuah forum membincangkan perniagaan pertanian yang berkiblatkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). Panel forum tersebut terdiri daripada seorang ahli akademik, seorang usahawan tani dan seorang politikus.

Saya tidak ada masalah dengan hujah ahli akademik dan ahli perniagaan pada forum kali ini, rasa tidak puas hati saya lebih tertumpu kepada hujah dikeluarkan politikus berkenaan topik yang diberikan.

Sepanjang forum, beliau kerap mengkritik masalah sikap yang ada pada masyarakat bumiputera dan graduan yang dikatakan tidak mengambil peluang atau berfikiran simplistik untuk “makan gaji” berbanding memulakan perniagaan.

Hujah ini dimainkan berulang-ulang sehingga saya terfikir kita nak ubah sikap macam mana lagi? Kita memang sedang menghadapi banyak masalah, dan tidak adil jika kita salahkan “sikap” semata-mata.

Sikap menjadi kambing hitam

Hujah “menyalahkan sikap” ini mengingatkan saya kepada satu forum di RTM berkenaan Bajet 2018, seorang ahli akademik “dikelaskan” pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkenaan “kontrak sosial” penyediaan universiti.

Ahli akademik itu juga konsisten menyalahkan sikap graduan yang didakwa “kurang kemahiran insaniah” dan memberi prespektif kerajaan tidak boleh disalahkan, jika negara menghadapi peluang pekerjaan yang kurang.

Sebenarnya sikap siapa yang ada masalah? Melalui forum ini juga politikus tersebut menyatakan contoh graduan yang memilih kerja sebagai guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) sebagai contoh “masalah sikap ingin makan gaji” yang kita hadapi.

Saya berpandangan hukuman seperti ini tidak adil, ramai graduan memilih untuk bekerja pada kadar gaji lebih rendah daripada kelayakan mereka bukan sebab masalah “sikap”, tetapi peluang pekerjaan yang kurang.

Seharusnya sebelum kita berbicara tentang sikap, kita harus melihat realiti yang sedang berlaku pada hari ini.

Bukan sikap graduan atau anak muda yang salah semata-mata, tetapi sikap mereka yang mempunyai kuasa juga harus dipersalahkan. Sikap menafikan “tekanan-tekanan” yang menyebabkan graduan/anak muda berkelakuan di luar norma.

Revolusi Industri 4.0

Saya ingin bertanya berkenaan peranan kerajaan dalam menyediakan petani/pengusaha produk berasaskan pertanian menghadapi Revolusi Industri 4.0 pada forum ini, malangnya masa tidak mengizinkan.

Pada hemat saya, sewajarnya isu inilah yang menjadi topik utama forum kerana ia melibatkan satu sudut pandang yang jauh ke depan, seiring TN50.

Apabila kita berkata tentang TN50 dan industri pertanian, sepatutnya sudah banyak instrumen yang sejajar Revolusi Industri 4.0 untuk membolehkan produk pertanian diniagakan dengan lebih laris.

Saya tidak nafikan instrumennya sudah ada, sebagai contoh Agro Bazar. Namun, perlu juga difikirkan untuk peniaga di kampung atau kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses kepada internet atau teknologi.

Saya fikir daripada kita asyik memetik masalah sikap dalam mengeneralisasikan punca masalah, lebih baik kita menyediakan platform atau polisi untuk menghadapi masalah tersebut.

Platform dan polisi yang ditawarkan pula sepatutnya “up-to-date” dengan generasi TN50, dengan cara ini, ia akan menarik minat golongan muda yang didakwa menghadapi masalah sikap.

Adakah kita serius mengubah sikap?

Katakanlah kita bersetuju dengan kelompok yang mengatakan kebanyakan graduan dan anak muda menghadapi masalah sikap dan kurang kemahiran insaniah, seserius mana kita ingin menangani masalah ini? Dan dari peringkat mana kita ingin mendidik rakyat untuk menghindari masalah sikap dan kekurangan kemahiran insaniah ini?

Sebagai contoh, apabila profesor pendidikan yang dijemput RTM untuk membincangkan Bajet 2018 berkata, graduan ada masalah kemahiran insaniah (soft skill), sebab itu mereka sukar mendapat pekerjaan.

Adakah beliau boleh lepas tangan begitu sahaja tanpa mengakui institusi di bawah seliaan beliau juga menyumbang kepada kegagalan untuk menyediakan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi? Atau perlukah kita pergi ke bawah lagi; sekolah menengah, sekolah rendah dan tadika? Soalan-soalan seperti itu harus dijawab dengan konkrit.

Jika kita ingin menjelang 2050 majoriti rakyat Malaysia bebas daripada masalah “sikap”, kita harus meneliti pada peringkat mana “sikap baik” itu harus dipupuk.

Wajib juga kita bertanya adakah sistem pendidikan kita (bermula dari prasekolah sehingga pendidikan tinggi) berada pada landasan betul untuk membentuk sikap didambakan.

Memberi teguran tentang sikap segelintir masyarakat kita tidak salah, tetapi memukul rata tanpa melihat kondisi sebenar adalah satu tindakan terburu-buru dan tidak adil. Umpama seseorang yang sedang tidur di atas timbunan beras menghukum pencuri yang kelaparan.

Rahman Imuda ialah aktivis mahasiswa dan pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments