Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Musim menyambut PRU, maaf zahir batin

 | November 19, 2017

Ziarah sebegini mungkin dapat mengubah persaingan berasaskan politik dendam kepada persaingan siapa yang lebih berjiwa besar

KOMEN

najib-anwar

Foto Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital menjadi tular di media sosial sebagaimana lawatan Najib ke IJN selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjalani pembedahan.

Sudah pasti Najib dan Zahid sudah membuat perhitungan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan untuk menziarahi Anwar di hospital sebegitu dekat dengan pilihan raya umum ke 14.

Ziarah Najib dan Zahid kali ini menimbulkan satu perasaan yang mendamaikan seolah-olah seperti suasana di Hari Raya. Dua pihak yang bertelagah berdamai menghulurkan salam maaf zahir dan batin.

Kepada mereka yang tidak mengikuti politik secara dekat, foto Najib dan Zahid melawat Anwar bersama pasangan mereka akan dilihat sebagai sesuatu yang damai dan “sweet”.

zahid-anwar

Foto itu turut memberikan gambaran di minda rakyat bahawa suhu permusuhan di antara mereka sudah menurun. Mereka hanyalah saingan di medan politik, dan bukannya musuh.

Mereka di Pakatan Harapan yang sebelum ini menyelar ungkapan “UG” ketika Najib melawat Hadi, kini terkedu lidah untuk menghuraikan ziarah Najib dan Zahid ini.

PAS yang sedang hebat mempromosikan “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” kini memberitahu para penyokong Pakatan Harapan (PH) bahawa ziarah Najib dan Zahid ke Anwar adalah contoh budaya matang yang mereka maksudkan selama ini.

Seperti mana PAS yang sudah bertegas mereka tetap akan melawan Umno di PRU ke-14, PH juga tetap melawan BN meskipun Najib dan Zahid menziarahi Anwar. Segalanya seri.

Cuma ziarah Najib dan Zahid mungkin menimbulkan satu teori konspirasi di dalam Umno-BN.

Antara persoalan yang pasti timbul ialah, apakah perlunya Zahid melawat Anwar sehari selepas Najib selaku PM melawat Anwar? Bukankah itu sudah berlebihan penghormatan yang diberikan kepada Anwar?

Apakah ada persaingan antara Najib dan Zahid di sebalik takbir meskipun kedua-dua pimpinan saling memuji antara satu sama lain di depan media?

Suhu politik

Memandangkan ziarah Najib dan Zahid ke atas Anwar menimbulkan aura yang sebegitu positif bagi politik negara, apakah Najib dan Zahid akan menimbangkan ziarah ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad pula selaku bekas PM yang sudah melepasi umur 90 tahun?

Lawatan muhibah ini pasti akan menarik perhatian rakyat yang kini keletihan politik.

Pertama, ini boleh menurunkan suhu politik negara. Kedua, ini boleh mengubah cara berpolitik hari ini yang berdasarkan cacian, makian, sindiran dan fitnah sekiranya pendamaian ini menjadi tular di kalangan rakyat. Usahlah kita nafi bahawa berita politik hari ini didominasi cacian antara Dr Mahathir dan Najib.

Ziarah Najib ke atas Dr Mahathir tidak akan dapat menghentikan azamnya untuk menjatuhkan beliau.

Akan tetapi, ziarah ini mungkin dapat mengubah persaingan tersebut daripada politik dendam kepada persaingan siapa yang lebih berjiwa besar sebagai pimpinan negara. Persaingan sebegini adalah lebih baik untuk negara berbanding dengan apa yang ada hari ini.

Diharap budaya saling bermaafan menjelang pilihan raya ini dapat dikekalkan supaya rakyat dan para ahli politik dapat memberi fokus kepada isu-isu yang lebih penting sebagai modal untuk memancing undi daripada mengharapkan undi melalui politik kebencian semata-mata.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments