Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Singapura ‘jangan buat kerbau tanduk panjang’ isu Batu Puteh

November 23, 2017

Perdana menteri Singapura dan pakar undang-undang antarabangsa menuduh tindakan Malaysia menyemak semula Batu Puteh sebagai bermotifkan politik.

KOMEN

Lee-Hsien-Loong-isu-Batu-PutehOleh Mohd Hazmi Mohd Rusli

Bidalan Melayu ada menyebut, “jangan buat kerbau tanduk panjang” yang bermaksud jangan campuri urusan orang lain.

Pepatah ini bertepatan dengan apa yang berlaku dengan keputusan Malaysia untuk menyemak semula kes Batu Puteh di timur Selat Singapura berdasarkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menjadi milik Singapura.

Pada Februari 2017, Malaysia memfailkan permohonan semakan ke atas keputusan ICJ yang disampaikan pada 2008 ke atas Batu Puteh atau “Pedra Branca”.

Kemudian pada Julai 2017, Malaysia memohon interpretasi penghakiman ICJ ke atas keputusan yang dibuat pada 2008.

Ini menyebabkan ramai pakar undang-undang antarabangsa di Singapura membuat pelbagai komen tidak berasas dalam hal ehwal dalaman politik Malaysia, seperti yang dilaporkan sebuah artikel yang diterbitkan pada Julai 2017 bertajuk, “Malaysia throwing ‘the kitchen sink’ with second Pedra Branca Challenge, say experts”.

Terkini, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pula membuat komen yang serupa yang menuduh tindakan Malaysia menyemak Batu Puteh bermotifkan politik.

Batu Puteh kini sebahagian dari Singapura, batuan yang terletak 7.7 batu nautika dari persisiran Johor dan 24 batu nautika dari persisiran Singapura.

Batuan Tengah atau “Middle Rocks”, yang terletak 1 km dari Batu Puteh ditetapkan sebahagian dari Malaysia. Pihak ICJ tidak menyatakan apa-apa terkait Tubir Selatan atau “South Ledge”.

Singapura membuat tuntutan, antara lain berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh M Seth Bin Saaid, pemangku setiausaha kerajaan negeri Johor pada 1953 menafikan kedaulatan Johor ke atas Batu Puteh. Surat ini adalah satu bukti kukuh yang meyakinkan ICJ untuk menyerahkan Batu Puteh kepada Singapura pada 2008.

Bagaimanapun, Putrajaya kini mengutarakan bahawa 3 dokumen baharu ditemui yang menafikan Batu Puteh adalah sebahagian dari Singapura. Oleh kerana itu, Malaysia memfailkan semakan di ICJ pada Februari lalu.

Kritikan berkaitan urusan dalaman politik Malaysia dibuat pelbagai pihak di Singapura – bermula daripada pakar undang-undang antarabangsa sehingga individu nombor 1 republik itu.

Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Singapura, Prof Simon Chesterman dilaporkan menyebut kerajaan Malaysia sekarang sangat terdesak dan perlu menunjukkan “mereka telah melakukan apa yang patut” untuk mendapatkan sokongan politik daripada orang ramai.

Kritikan ini juga disokong oleh Dr Mustafa Izudin, seorang felo di Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) di Institut Yusuf Ishak yang mengatakan permohonan ke-2 kepada ICJ yang dibuat pada Julai 2017 adalah “langkah strategik yang sengaja dilakukan untuk menghidupkan isu Batu Puteh bagi tujuan mendapatkan sokongan domestik”.

Beliau juga dilaporkan berkata semakan yang dibuat ini sebagai “pameran awam” kepada para pengundi bahawa kerajaan sebenarnya sedang melakukan sesuatu untuk mengambil semula Batu Puteh daripada Singapura agar mereka terlihat sebagai wira.

Terkini, Lee juga dilaporkan berkata penyemakan ke atas kes Batu Puteh ini ada kaitannya dengan urusan dalaman politik Malaysia.

Kritikan ini adalah tidak wajar, terutama sekali apabila ia diungkapkan oleh pakar undang-undang antarabangsa yang sememangnya jelas memahami konsep kedaulatan sesebuah negara.

Pertama, permohonan yang dibuat oleh Malaysia tidak melanggar peruntukan Statut ICJ – Putrajaya hanya mengamalkan haknya sebagai negara anggota kepada prosiding tersebut tertakluk kepada Article 61(1) Statut ICJ.

Selain permohonan semakan ini dibuat sebelum berakhirnya tempoh 10 tahun setelah keputusan terdahulu dibuat.

Kedua, permohonan ni dilakukan untuk menyelesaikan perkara ini secara aman, sebagaimana disyorkan oleh Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kritikan ini secara langsung atau tidak langsung mempamerkan keangkuhan terhadap hak Malaysia sebagai sebuah negara yang terlibat di dalam prosiding tersebut.

Kritikan ini mungkin hanya pendapat peribadi ahli akademik Singapura tersebut. Tetapi sekarang ini kritikan tersebut juga di sokong oleh perdana menteri Singapura.

Sekiranya benar inilah sentimen Singapura, ini sekaligus boleh menjejaskan semangat Asean yang berpegang teguh kepada prinsip tidak mencampuri urusan negara lain atau “non-interference”.

Rakyat Singapura tidak fasih bahasa kebangsaan

Malaysia menghormati undang-undang berkaitan urusan domestik Singapura, sebagai contoh polisi mengenai hak istimewa orang Melayu minoriti di Republik tersebut yang dilindungi oleh Artikel 152(1) Perlembagaan Singapura.

Artikel 152(2) Perlembagaan Singapura memperuntukkan perlindungan terhadap bahasa Melayu akan tetapi majoriti rakyat Singapura, seperti yang dilaporkan Straits Times Singapore pada 2014, tidak boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu, bahasa kebangsaan Singapura.

Satu laporan akhbar memburuk-burukkan kakitangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, seperti yang pernah diterbitkan The Independent.sg pada Ogos lalu adalah contoh tegar Singapura tidak mengambil peduli kepentingan bahasa Melayu walaupun ia bertaraf bahasa kebangsaan.

Dalam kejadian tersebut, seorang warganegara Singapura, Justinian Tan, 25, dikatakan maut apabila HSA dikatakan meminta pembayaran pendahuluan sebelum pembedahan dapat dilakukan.

Ternyata laporan ini adalah palsu dan portal The Independent.sg menarik balik artikel ini dan memohon maaf atas laporan tidak bertanggungjawab ini.

Apa yang penting, laporan portal The Independent.sg itu juga memetik terdapat salah faham komunikasi antara rakan-rakan Tan dengan kakitangan hospital kerana mereka tidak fasih berbahasa Melayu. Bagaimana mungkin rakyat sesebuah negara tidak fasih bertutur dalam bahasa kebangsaannya sendiri?

Malaysia, sebuah negara majoriti Melayu, sentiasa menahan diri daripada mengkritik Singapura dalam perkara ini kerana menyedari perkara ini adalah hal dalaman Singapura dan patut dihormati.

Untuk tempoh 1 dekad, Malaysia dan Singapura gagal melukis garis sempadan maritim yang disepakati di sekitar Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Usaha ini menemui jalan buntu sejak 2013. Sebagai negara jiran yang baik, Malaysia mengambil inisiatif untuk menyelesaikan kes ini di ICJ.

Tidak dapat difahami kenapa pernyataan tidak berasas ini dibuat ke atas Malaysia. Sekalipun kerajaan Malaysia menggunakan Batu Puteh untuk mendapatkan undi, ini adalah hal dalaman Malaysia dan tidak ada kaitan sama sekali dengan Singapura.

Terdapat asas perundangan kukuh untuk Malaysia membuat semakan kes tersebut di ICJ.

Perlu diingat hubungan bilateral yang baik antara Putrajaya dan Singapura dapat dijaga kerana kedua-dua negara saling menghormati dan bukannya saling memburukkan.

Tidak usahlah mereka mencampuri urusan dalaman politik Malaysia, bak kata bidalan, “jangan buat kerbau tanduk panjang”.

Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments