Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kisah lebai bogel

 | November 24, 2017

Dalam tradisi Melayu, para lebai, ustaz dan ulama mendapat posisi yang sangat terpandang. Akan tetapi, lebai malang ternyata diaibkan.

KOMEN

lebaiDalam cerita lipurlara Melayu terdapat satu genre cerita jenaka.

Anda tentu pernah mendengar kisah Lebai Malang. Secara ringkasnya, Lebai tersebut ingin memenuhi 3 undangan kenduri. Oleh kerana tamak, dia bertangguh-tangguh memikir dan memilih-milih kenduri yang manakah akan mendapat keuntungan lebih.

Ternyata apabila si Lebai berangkat memenuhi kenduri tahlil ia telah berakhir, bila dikejar kenduri khatam Al-Quran pun sudah usai, lantas dihambat kenduri Maulud hanya mendapat sebungkus makanan.

Dalam perjalanan pulang, Lebai memanjat pokok kerana terkenangkan air nira. Nasib malang menimpa lagi apabila makanannya dibawa lari anjing.

Mohd Taib Osman memetik kisah Lebai tersebut dalam sebuah susunan jenaka Melayu:

“Maka anjing itu pun masuklah ke dalam lubang batang kayu bersembunyi membawa bungkusan kuih yang separuh sudah dimakannya sambil lari itu. Maka Pak Lebai pun sampailah kepada tempat anjing itu menyembunyikan dirinya. Dicarinya kayu pun tiada, dan lain-lain benda pun tiada juga hendak disumbatkannya pada lubang itu.

“Maka Pak Lebai pun oleh tersangat berang hatinya, lalu menanggalkan seluar dan baju serta songkoknya, lalu disumbatkannya kepada lubang itu. Maka Pak Lebai pun tinggal bertelanjang bulat sahaja.

“Maka si anjing sial itu pun keluarlah lari mengikut lubang yang sebelah lagi yang tiada bertutup itu, menggonggong bungkusan itu dengan pantasnya masuk ke dalam hutan, lalu hilanglah sekali tiada kelihatan pada mata Pak Lebai.

“Mata Pak Lebai pun tercengang-cenganglah mengintai anjing itu ke sana ke mari. Hatta, seketika lagi terbanglah dua ekor burung punai betul-betul menuju Pak Lebai, kerana pada sangka burung itu tunggul kayu oleh Pak Lebai bertelanjang bulat, seurat benang pun tiada lekat pada tubuhnya. Setelah dilihat oleh Pak Lebai akan punai itu datang, ia pun segeralah mengadangkan lengannya dan membukakan kedua ketiaknya.”

Perihal lebai beradu dengan anjing untuk berebut makanan itu tentulah aneh kerana lebai seharusnya mempunyai kepercayaan, kehormatan dan kemuliaan yang penuh.

Dalam tradisi Melayu, sepatutnya para lebai, para ustaz dan para ulama mendapat posisi yang sangat terpandang. Akan tetapi, lebai malang ternyata dimalu-aibkan, dan bukan setakat ditunjukkan dalam keadaan rugi, malah dilondeh sehingga terlihat-lihat segala punai.

Akan hal lebai tersebut dinyatakan oleh pencerita menerusi sudut pandang isterinya:

“Maka Pak Lebai pun naiklah ke rumahnya. Telah dilihat oleh isterinya Pak Lebai bertelanjang bogel itu, marahlah ia seraya katanya, ‘Kena apa awak demikian ini, seperti laku orang gila? Ke mana pergi seluar dan baju awak?’ Maka oleh Pak Lebai diceritakannya segala hal ehwal yang telah berlaku ke atas dirinya. Maka Mak Lebai pun naiklah radangnya, seraya mengambil kayu api, disesahkannya ke belakang Pak Lebai serata katanya:

‘Lebai nasib langkahan malang,
Ke hulu hilir penat berulang,
Celaka sial bedebah jembalang,
Pakaian dibuang bertelanjang pulang.’”

Persenda watak agama

Sudah tentu naratif lucu atau jenaka ini bukan dibuat-buat untuk tujuan suka-suka dan berhibur. Adalah aneh sekali orang Melayu mempersendakan watak para agamawan yang sepatutnya terhormat dalam masyarakat.

Akan tetapi, orang Melayu sejak zaman berzaman menjadikan kisah ini sebagai satu cerita untuk mengajar perihal ketamakan seseorang sehingga rugi serba-serbi. Orang yang tamak itu bukan orang biasa. Orang yang tamak dalam minda Melayu adalah agamawan.

Tidakkah itu sesuatu?

Menurut saya, kisah lebai malang ini mempunyai pemberat yang jauh lebih mendalam ingatan dan mesejnya.

Apa niat seseorang Melayu menelanjangkan seseorang yang dianggap terhormat dan berstatus tinggi sedemikian rupa? Lantas kemudian dimarahi isteri pula. Maka jelas si pencerita lipurlara ini bukan berniat untuk berhibur jenaka semata-mata. Bukan pula sekadar mengingatkan keadaan tamak dan haloba.

Mesej lebih besar daripada isu tamak dan haloba dirakam dalam jenaka “Lebai Malang” ini. Orang Melayu tidak akan menanggalkan pakaian yang merupakan penutup aib dan aurat melainkan terdapat kemarahan yang nyata. Melainkan gila, atau bodoh (kurang rasional).

Lebai malang dalam kisah jenaka ini ditunjukkan bersifat mementingkan diri. Sejak awal naratif, lebai berkira-kira untuk memenuhi undangan kenduri yang paling bermanfaat dan mendapat harta atau keuntungan besar.

Bukan itu sahaja, lebai digambarkan pula kurang waras bila mana berebutkan makanan dengan anjing sehingga terdesak memecat pakaian sendiri. Apabila gagal bertanding dengan anjing, iaitu binatang yang digambarkan tamak dalam kisah anjing dengan bayang-bayang, si lebai tergamak pulang dalam keadaan polos dan telanjang.

Tanpa rasa malu dan segan, apabila ditanyakan perihal keadaan itu, si lebai berjujur dengan harapan dimengertikan. Padahal kita dalam posisi isteri lebai berasa sangat malu dan tertekan.

Lebai bogel masa kini?

Dalam perspektif si isteri lebai, suaminya seperti orang gila. Untuk menyamakan watak lebai yang terhormat dalam masyarakat Melayu dengan kegilaan yang sanggup dan terdesak menelanjangkan diri merupakan satu kritikan yang bernas dan padu. Ia adalah gambaran institusi agama dalam masyarakat Melayu yang tidak henti-henti bertelanjang memalukan diri sendiri. Apabila diketawakan orang, tanpa segan silu juga mereka terus menegaskan kebodohan mereka sendiri.

Sesungguhnya kritikan orang Melayu terhadap kumpulan agamawan yang mediocre atau tidak bermutu seperti ini amat selalu ditemukan.

Kita malah menjumpainya dalam kisah Luncai. Pendek kata kisah jenaka Melayu memang menjadikan kaum agamawan sebagai sasaran senda mereka kerana sudah tentulah orang Melayu berasa meluat dengan ketelanjangan kaum agamawan yang tidak punya malu.

Hari ini fenomena lebai telanjang dan berani berbogel ini sangat berleluasa. Mereka telanjang dengan fatwa dan pandangan agama yang tidak rasional dan lojika. Bila disangkal, mereka semakin meneguhkan ketelanjangan itu.

Pokoknya golongan agamawan yang tidak lojik dan menggunakan kewarasan serta tergamak menelanjangkan diri ini tentu sahaja wujud dan masih berwatak dalam masyarakat kita. Cuma dalam konteks hari ini, watak agamawan telanjang yang bedebah dan bodoh ini bukan untuk kita ketawakan.

Pada zaman dahulu, lebai ini hanya seorang dan kewujudan mereka membuatkan kita geli hati, atau geli-geleman. Namun demikian, watak lebai yang bertelanjang kemudian bangga seperti dalam kisah Lebai Malang ini telah berganda. Berbiak dan pulang ramai-ramai dari Timur Tengah.

Mereka sedang memalukan diri dengan membentuk kumpulan-kumpulan tertentu yang dinamakan jamaah. Mereka mempunyai pelbagai misi telanjang untuk memalukan diri. Mereka fikir misi mereka suci. Padahal kira-kira mereka adalah keuntungan diri.

Kita tidak dapat mengharapkan watak lebai yang bodoh dan tidak tahu malu begini. Bagaimanakah kita ingin mengharapkan lebai ini dalam hidup kita (tafsiran kepada bahagian lebai diundang membacakan doa di majlis kenduri), jika mereka sendiri gagal memenuhi kehormatan dan hak diri sendiri?

Lebai seperti lebai malang ini tidak harus diberi muka dan diketawakan lagi. Mereka sedang mempamer kebodohan, keangkuhan dan juga kepanauan yang ada di tubuh badan yang sudah berbogel itu sehingga kita sendiri menjadi mual semak, muak menyampah, jemu bosan, geli meluat dan membangkitkan rasa benci.

Sudah tentu kita tidak membenci adat budaya, atau agama. Yang kita benci adalah “ulama” atau lebai bangang yang tanpa segan silu bertelanjang dan bergaduh dengan anjing.

Apa yang kita perlu lakukan dengan lebai telanjang ini?

Pertamanya kita harus mengambil pendekatan Mak Lebai iaitu kita mesti mengambilkira dan “acknowledge” bahawa lebai ini “laku orang gila”. Kita mesti sedia membuang citra bahawa lebai ini berguna dan bermanfaat kepada hidup kita, sedangkan dalam kepala otak mereka hanyalah untuk nafsu, dan keuntungan diri.

Kedua, setelah kita menyedari bahawa mereka ini gila, kita hendaklah menghambat mereka dan jangan melibatkan diri dengan kumpulan lebai bogel begini.

Kita hendaklah mengambil pendekatan yang tidak lagi wasatiyyah seperti Mak Lebai iaitu mengambil kayu api, lantas disesahkannya ke belakang Pak Lebai. Beri mereka sedar, duhai lebai telanjang.

Untuk lebai, ulama, ustaz, agamawan yang berasa suci dan berkhayal kuat seperti Lebai Malang kita hendaklah tidak berkompromi dengan mereka. Mereka telanjang dan bangga. Kita masyarakat cemerlang. Kita tidak memerlukan jembalang telanjang. Nyahkan mereka.

Nyahkan. Kayu api di tangan kita.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments