Nasrudin Hassan yang kong-kali-kong
PAS kononnya hendak amalkan politik matang yang bertopengkan Islam hingga buta kepada salah laku berskala mega yang terbesar di dunia ini.
Oleh Manan Razali
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, seperti dilaporkan FMT semalam, menjelaskan pendirian partinya yang berpuas hati dengan penerangan yang diterima dari Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengenai rancangan rasionalisasi syarikat itu pada 7 Ogos tahun lalu.
Saya baca komen ini sambil ketawa terbahak bahak. Terima kasih saudara Nasrudin, kerana membuat lawak jenaka yang sedikit sebanyak telah menambahkan keceriaan di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Macam mana Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengetuai perjumpaan dengan kamu semua boleh termakan dengan ucapan Arul tentang rancangan rasionalisasi syarikat 1MDB dan berpuas hati dengan penerangannya?
Isu sebenar 1MDB ialah ia sebuah syarikat “hantu” yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Najib Razak dengan tujuan utama untuk mencuri duit rakyat. Hakikat ini yang kamu semua tersasar dan menjadi buta terhadapnya kerana angau sangat dengan Najib.
Kemudian kamu kata dalam penjelasan semalam bahawa PAS berharap kerajaan Najib akan tubuh suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk siasat kes 1MDB sebelum kamu boleh percaya mengenai salah laku dalam syarikat ini pada waktu itu.
Bingung saya fikir tentang hal ini. Di mana logiknya kamu harapkan Najib menubuhkan RCI untuk menyiasat tentang salah laku dirinya sendiri?
Macam mana bercita-cita hendak memerintah negara mengikut cara Islam kalau kemungkaran besar terhadap rakyat yang sangat ketara dan terpampang di depan mata sendiri seperti ini pun kamu tidak nampak?
Takkanlah kamu sikit pun tidak mengesyaki bahawa salah laku yang berlaku di 1MDB didalangi oleh Najib sendiri sebagai tok dalangnya dengan bantuan Jho Low dan beberapa menterinya yang lain?
Satu dunia heboh mengenainya, tetapi kamu kononnya hendak amalkan politik matang yang bertopengkan Islam hingga buta kepada salah laku berskala mega yang terbesar di dunia ini.
Sejak bila Islam ajar umatnya mengamalkan politik matang yang bersikap lunak dengan pencuri?
Semalam, menteri kewangan baru kita mengeluarkan sebuah “fact-sheet” rasmi menunjukkan kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan telah membayar sebahagian daripada hutang dan faedah pinjaman bagi pihak 1MDB kepada beberapa kreditornya sepanjang tahun 2017 sehingga kini. Jumlahnya ialah sebanyak RM7 billion!!
Jika benar keududukan kewangan 1MDB kukuh dan rancangan rasionalisasinya mantap seperti yang Arul kata, kenapa rakyat pula dan bukannya 1MDB sendiri yang perlu membayar dan melunaskan obligasi ini?
Ini baru “tip of the iceberg”. Saya yakin kita akan dapat lebih banyak maklumat yang tidak masuk akal mengenai permainan silap mata 1MDB selepas ini apabila lebih banyak maklumat didedahkan oleh Kementerian Kewangan.
Masalah saya ialah mengapa PAS tidak boleh hidu langsung penipuan 1MDB selama ini?
Bayangkan apa akan berlaku kepada negara jika rakyat masih beri kemenangan kepada kerajaan BN yang dipimpin oleh idola kamu yang bernama Najib itu?
Saya tidak boleh maafkan pendirian PAS kerana berkerjasama dengan Umno hingga tergamak menutup mata kepada kemungkaran besar Najib dan kuncu-kuncunya semata-mata kerana ingin memenuhi tujuan politik sempit kamu yang bertopengkan Islam.
Jika rakyat tidak bangkit dan Allah tidak izin untuk beri kemenangan kepada Pakatan Harapan di PRU14 baru-baru ini, pasti negara akan hancur dan hidup rakyat serta generasi masa hadapan kita akan merana.
Sekarang baru kita semua tahu bahawa jumlah hutang negara rupa-rupa sudah pun mencecah RM1 trillion dan bukannya RM600 billion seperti yang disandiwarakan Najib sebelum ini dengan dendangan lagu yang membuai orang-orang yang mabuk seperti kamu sekalian di PAS.
Nasihat saya ialah janganlah kamu cuba hendak tegakkan benang yang basah lagi. Buruk rupanya. Semakin terserlah ketidak-cerdikan kamu dan barisan pemimpin-pemimpin kamu dalam PAS.
Mengaku sajalah yang kamu sudah tersilap sebelum ini. Ini lebih mulia dari terus-menerus bersikap degil tidak mahu mengaku bersalah kerana hendak pertahankan ego. Berhentilah dari memalukan Islam.
Manan Razali seorang pembaca FMT.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.