Laporan audit: Pegawai tak diberi kuasa tandatangan kontrak Kolej Permata Pintar di UKM

Laporan audit: Pegawai tak diberi kuasa tandatangan kontrak Kolej Permata Pintar di UKM

Laporan Ketua Audit Negara 2018 turut mendapati 10 kontrak bagi Kolej Permata Pintar itu tidak disemak penasihat undang-undang UKM.

Jabatan Audit Negara menggesa UKM menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat kecuaian dalam pengurusan kewangan dan penyediaan kontrak Kolej Permata Pintar. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 9 kontrak perkhidmatan perunding berjumlah RM9.18 juta serta satu kontrak pembersihan dan pencucian bangunan bernilai RM3.46 juta untuk Kolej Permata Pintar ditandatangani pegawai tidak diberikan kuasa.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, kontrak itu juga tidak disemak penasihat undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Perolehan peralatan dalam kontrak kerja bernilai RM38,500 dibuat tanpa kelulusan naib canselor UKM serta terdapat lebihan bayaran sebanyak RM99,500,” menurut laporan itu.

Jabatan Audit Negara menggesa UKM menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat kecuaian pegawai dalam pengurusan kewangan dan penyediaan kontrak.

“UKM perlu menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai didapati cuai melaksanakan tanggungjawab dalam pengurusan dan pentadbiran kontrak bagi menjaga kepentingan UKM, khususnya melibatkan bayaran dan syarat kontrak menyebabkan kerugian kepada UKM.”

Laporan itu turut mendedahkan Kurikulum Permata Pintar High School Diploma belum mendapat pengiktirafan senat universiti bagi institut pengajian tinggi awam (IPTA), selain UKM untuk kelayakan kemasukan ke tahun 1 IPTA.

Katanya, pejabat pendaftar UKM gagal membuat pengambilan bagi 70 jawatan tambahan baru untuk Program Permata Pintar walaupun diluluskan Kementerian Pendidikan pada 11 Januari 2017.

Sementara itu, semakan terhadap Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mendapati RM2.5 juta daripada RM11.88 juta hutang tertunggak melibatkan 8,274 pesakit dalam gagal dijelaskan, manakala hutang tertunggak RM6.92 juta bagi 28,216 pesakit dalam dan luar sejak 2000 hingga 2011, dihapus kira.

Jabatan Audit Negara juga mendapati HUSM tidak membuat tuntutan pembekalan bukan ubat bernilai RM42,140 kepada Usains Tech Services Sdn Bhd dari 2015 hingga Februari 2017.

Susulan penemuan itu, ia mengesyorkan HUSM menambah baik mekanisme kutipan hutang tertunggak bagi memastikan hutang dikutip dengan berkesan, selain menjalankan siasatan dalaman terhadap pegawainya.

“Tindakan sewajarnya perlu diambil jika terbukti pegawai terlibat melakukan kesalahan,” menurut laporan itu.

Sementara itu, semakan terhadap Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapati universiti itu gagal mencapai sasaran 200,000 enrolmen seperti ditetapkan, walaupun kampus Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) sudah siap.

“Kampus PFI siap dibina pada 2017, 7 tahun selepas sasaran. Antara kelemahan utama dalam pengurusan projek ialah tiada mekanisme penilaian, nilai untuk wang yang objektif dan menyeluruh, tiada asas penetapan skop dan kos siling projek serta kelemahan dalam aspek pembinaan.”

Laporan itu juga mendapati terdapat kelemahan dalam pengurusan pembinaan melibatkan isu kesesuaian reka bentuk, ketidakpatuhan kepada spesifikasi dan lukisan serta kualiti pembinaan kurang memuaskan.

Justeru, ia mengesyorkan UiTM meningkatkan pemantauan terhadap perkhidmatan pengurusan aset oleh syarikat konsesi supaya syarat dan tanggungjawab dilaksana mengikut ketetapan perjanjian konsesi.

UiTM juga disaran membuat semakan lengkap terhadap Sistem Pengurusan Kemudahan Berkomputer di semua kampus PFI bagi memastikan sistem berfungsi seperti ditetapkan dalam perjanjian konsesi, selain menjamin kepentingan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.