Apa istimewanya hutang RM32 juta Deepak?

Deepak Jaikishan_300KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Bank Rakyat yang memberi keistimewaan besar kepada peniaga permaidani Deepak Jaikishan membayar pinjaman berjumlah RM32 juta tanpa faedah.

Beliau juga mahu tahu apakah peranan Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga menteri yang terbabit dengan undang-undang tersebut, Datuk Hasan Malek boleh memberi keistimewaan kepada Deepak.

“Saya menggesa menteri terbabit menjelaskan sama ada arahan berhubung hutang berjumlah RM32 juta itu dibuat dengan nasihat Suruhanjaya Koperasi,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2014 di Parlimen hari ini.

“Hassan Malek perlu menjelaskan sama ada langkah yang dibuat itu selari dengan tugas menteri dalam bertanggungjawab seperti digariskan dalam Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia 1978.

“Saya juga ingin mempersoalkan tujuan di sebalik arahan Hassan kepada Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abdul Razak untuk menstrukturkan semula hutang berkenaan,” jelasnya.

“Apakah kelebihan Deepak sehingga beliau mendapat keistimewaan berbanding pendeposit kecil yang lain?

“Saya tidak nampak arahan yang diberikan kepada Mustafha bersifat melindungi Bank Rakyat dan pendeposit Bank Rakyat yang kebanyakkannya bumiputera,” ujarnya.

Sebelum ini bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah turut mempersoalkan polisi Bank Rakyat untuk membenarkan peniaga permaidani Deepak Jaikishan membayar pinjaman RM32 jutanya tanpa faedah, mengatakan ianya bukan amalan biasa perbankan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, peniaga Bumiputera juga tidak mendapat perjanjian istimewa seperti itu apabila membuat pinjaman dengan bank kerajaan walaupun Putrajaya mempunyai polisi perniagaan pro-Bumiputera.

“Melihat kepada fasiliti kewangan yang diperdebatkan dalam kes ini, saya tidak fikir ianya betul,” kata pemimpin veteran Umno itu yang menjadi menteri kewangan dari 1976 hingga 1984.

Putera Raja Kelantan yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu turut mempersoalkan polisi kerajaan mana diikuti Bank Rakyat apabila memberikan kemudahan kepada pelanggan seperti Deepak.

“Di bawah polisi kerajaan yang mana diikuti bank apabila memberikan fasiliti seperti itu di atas permintaan pelanggan?

“Apakah polisi Bumiputera? Dia bukan Bumiputera,” katanya merujuk kepada laporan Bank Rakyat yang bersetuju membenarkan ahli perniagaan kontroversi Deepak untuk menyelesaikan pinjaman RM32 jutanya tanpa sebarang faedah.