Saya tak boleh tidur sampai 2 pagi – Rosmah

FW329773_KL13_160614_ROSMAH-lprBANGI : “Saya dan Datuk (Seri) Najib (Tun Abdul Razak) tak boleh tidur sebab dengar bunyi motorsikal pukul 2 pagi,” cerita Datin Seri Rosmah Mansor mengenai gangguan yang dialami akibat perbuatan lumba haram.

Beliau berkata: “Rumah saya di Kuala Lumpur (Jalan Duta) bila tengah malam dengar motorsikal bukan main laju dan kuat..lama pulak tu, mestilah ramai dia orang (mereka) racing (berlumba) di tengah jalan.”

Bagaimanapun isteri Perdana Menteri menjelaskan, masyarakat tidak boleh menyerah kalah terhadap masalah gejala sosial di kalangan anak muda, ”Mereka mampu bertukar menjadi insan yang baik.”

Katanya, mereka menjadi mat rempit, mengambil dadah, menjadi gangster dan menjadi pengacau seolah-olah hidup tanpa pedoman dan tersasar jauh dari jalan sebenar.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penutup program Kem Perkasa Siri 3/2013 hingga siri 8/2014.

Rosmah yang juga Penaung Permata Negara menambah, golongan belia mempunyai banyak potensi yang boleh dipupuk bagi membantu mereka menjadi seorang individu dewasa berdasarkan nilai dan tingkah laku positif.

“Potensi positif yang ada pada golongan belia jika dipupuk dengan baik akan dapat berkembang secara sihat dan dengan sendirinya menjadi benteng penghalang kepada pengaruh-pengaruh negatif,” katanya.