MyKad palsu dijual RM8,000 di Sabah

mykad_300KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah mendedahkan bahawa penjualan sekeping kad pengenalan MyKad palsu oleh sindiket yang belum dikenal pasti dalang dan lokasi operasinya, boleh mencecah sehingga RM8,000.

Pengarah JPN Sabah Ismail Ahmad berkata, pihaknya mengetahui perkara itu selepas seorang warga asing cuba membuat pasport Malaysia di Jabatan Imigresen Kota Kinabalu bulan lepas, namun diberkas polis selepas MyKad yang digunakannya dikesan palsu oleh JPN.

“Kes pemilikan kad pengenalan palsu yang dikesan di Jabatan Imigresen adalah satu daripada enam kes MyKad palsu termasuk sekeping MyKad taraf Penduduk Tetap dari Januari hingga Mac tahun ini,” kata beliau kepada pemberita.

Kad pengenalan palsu itu dirampas daripada warga warga Filipina dan Indonesia sepanjang operasi bersama polis, Jabatan Imigresen, JPN dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Beliau berkata, walaupun ciri-ciri luaran kad pengenalan palsu itu hampir sama dengan MyKad sebenar kerana dibuat menggunakan mesin canggih, cip yang digunakan pada MyKad itu adalah kosong dan mudah dikesan oleh sistem JPN.

Sambil menegaskan pengeluaran MyKad palsu itu tiada kaitan dengan JPN Sabah, Ismail berkata, suspek berkenaan telah dihadapkan di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 25 Akta Pendaftaran Negara 2007 (Pindaan) yang membawa hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda sehingga RM30,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“MyKad palsu ini tiada hubung kait dengan JPN Sabah…MyKad ini sama (dengan MyKad sebenar) tetapi tidak serupa dan sistem JPN boleh mengesannya,” katanya.

Beliau berkata, ia juga tiada kaitan dengan sindiket yang membabitkan 22 pegawai JPN sebelum ini, seperti yang terkandung dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Semua 22 pegawai JPN itu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kad pengenalan palsu yang dihasilkan mereka telah pun dibatalkan, jelasnya.