Portal The Malaysian Insider sedang disiasat

Sheikh-Ahmad-Raffie_600KUALA LUMPUR: Berikutan beberapa laporannya yang mencetuskan kontroversi dan palsu, portal berita propembangkang The Malaysian Insider kini sedang dalam siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Komunikasi Strategik SKMM, Sheikh Ahmad Raffie Sheikh Abdul Rahman bahawa siasatan itu termasuk laporan kononnya Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

“SKMM dan polis (PDRM) telah bekerjasama menyiasat The Malaysian Insider selepas laporan polis dibuat selain meneliti laporan-laporan mengenainya di akhbar-akhbar sejak Jumaat lalu. Siasatan itu masih lagi berjalan hingga kini,” jelas beliau.

Menurutnya, siasatan itu dilakukan selepas Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan polis menafikan perkara itu, sementara banyak pihak turut mengeluarkan kenyataan bantahan terhadap portal propembangkang tersebut.

Bagaimanapun katanya, “Belum dapat dipastikan bila siasatan akan selesai, sama ada ia akan mengambil masa yang lama atau sekejap juga tidak pasti. Semua itu bergantung kepada keadaan,” lapor Utusan Malaysia.

Beliau mengulas gesaan pelbagai pihak termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pergerakan Pemuda UMNO yang mempersoalkan tentang bentuk tindakan SKMM terhadap The Malaysian Insider berhubung laporan portal itu yang sering dipersoalkan kesahihannya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Mortadza Nazarene memberitahu, PDRM kini sedang menunggu laporan siasatan berhubung kes berkenaan daripada SKMM.

“Kami perlu mendapatkan laporan daripada SKMM terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan berhubung kes tersebut,” katanya.