Berhenti memalukan diri, pesan Zuraida kepada Khalid Ibrahim

zuraida,Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu untuk memalukan dirinya dengan menawarkan diri untuk kembali memegang jawatan Menteri Besar.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menyatakan Khalid tidak sepatutnya bertindak sedemikian.

Hal ini kerana, beliau sendiri gagal dalam pentadbirannya yang lalu seperti perjanjian air Selangor.
“Rakyat Selangor masih ingat isu Lebuhraya Kinrara-Damansara ( KIDEX) dan kes penyelesaian di luar mahkamah dengan Bank Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Zuraida lagi, adalah lebih baik agar Khalid belajar untuk berkhidmat di dalam kawasannya terlebih dahulu.

“Tugasnya adalah untuk rakyat, maka jagalah Pelabuhan Klang dan Bandar Tun Razak dengan baik dan berhenti bermimpi tentang menjadi Menteri Besar Selangor,” katanya lagi.

Zuraida yang juga Ketua Wanita Keadilan, turut menyatakan sejak Azmin Ali mengambil alih Selangor sebagai Menteri Besar, negeri ini telah berkembang dan makmur dengan ketara berbanding sebelum ini.

“Walaupun masih ada ketegangan kaum dan agama, namun telah ditangani dengan baik dan cara yang memuaskan.

“Oleh itu, tidak ada ruang bahawa Khalid mempunyai peluang dalam mengambil alih Selangor semula,” kata beliau lagi.