Najib mahu saman Ling Liong Sik

najib_ling-liong-sik_600_2

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Presiden MCA, Tan Sri Dr. Ling Liong Sik kerana didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap Perdana Menteri baru-baru ini.

Najib mengambil tindakan itu menerusi firma guaman yang mewakilinya secara peribadi, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Dalam notis tuntutan saman itu, firma berkenaan memaklumkan mereka telah diarahkan oleh anak guamnya (Najib) untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Liong Sik kerana kenyataannya yang disiarkan MalayMailOnline pada 3 Oktober lalu.

Dalam kenyataan itu, Liong Sik, bekas Menteri Pengangkutan dilaporkan menyokong gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Najib dijatuhkan kerana mengambil duit rakyat untuk mengisi poketnya sendiri.

Dalam surat tuntutan itu, Najib menuntut Liong Sik menarik balik kenyataan, membuat permohonan maaf dan menuntut pampasan sewajarnya kerana membuat fitnah itu.