Tiada krisis kepimpinan dalam Amanah – Mujahid

mujahid-rawa,amanah

PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) menafikan khabar angin kononnya parti itu mengalami krisis kepimpinan ketika ini.

Naib Presidennya, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, kerjasama di antara kepimpinan tertinggi Amanah ketika ini sangat kuat bagi memastikan parti terus maju ke hadapan.

“Kami (kepimpinan tertinggi Amanah) tidak ada masalah (krisis kepimpinan), kami sedang bergerak maju dan laju,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, tersebar di media sosial kononnya ada gerakan untuk menjatuhkan presiden Amanah, Mohamad Sabu apabila wujud tiga kumpulan iaitu Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Syiah dan kumpulan profesional dalam parti itu.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, beliau tidak tahu menahu wujudnya gerakan menjatuhkan presiden parti, malah enggan melayan sebarang tuduhan yang tidak mempunyai asas.

“(Gerakan menjatuhkan presiden) Bagaimana saya nak komen sesuatu perkara yang saya sendiri tidak dengar dan sumbernya tak tahu dari mana, jadi sukar untuk saya menjawabnya,” katanya.

Mujahid berkata, fitnah jahat tersebut hanyalah sengaja dilakukan pihak tertentu yang cemburu dengan penerimaan luar biasa rakyat terhadap parti Amanah ketika ini.

“Bagi saya kalau orang ramai berminat melontarkan fitnah-fitnah kepada Amanah itu ternyata Amanah ini sedang menuju atas landasan yang betul,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada ahli dan penyokong Amanah supaya meneruskan agenda untuk mengembalikan kepercayaan kepada rakyat dan memperkukuhkan Pakatan Harapan bagi memastikan kerajaan sekarang dapat ditumbangkan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang