Pintu gerbang: Derma alasan paling ‘legend’

chegubard,pintu-gerbang

SEREMBAN: Kerajaan Selangor menjadi bahan lawak apabila mendakwa kos RM9.8 juta bagi projek naik taraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan ditanggung oleh penderma.

“Alasan ini paling ‘legend’ dan mengundang senyum sinis pelbagai pihak. Sebelum ini kita serang Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) tapi kali ini pemimpin kita pun guna alasan yang sama,” katanya Ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin.

Dia mendakwa isu ‘derma’ hanya muncul selepas projek itu menerima kritikan ramai dan tidak pernah disebut ketika ia diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jika derma, kenapa tidak disebut dalam belanjawan ketika projek diluluskan, tetapi hanya muncul setelah projek membazir ini diserang?

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha dalam satu kenyataan berkata kerajaan negeri hanya mendahulukan pembayaran bagi projek itu, sebelum dibayar semula oleh para penderma yang akan diukir nama di pintu gerbang tersebut.

Badrul Hisham atau dikenali Chegubard menyifatkan amalan itu menyalahi tatakelola kewangan kerajaan Selangor.

“Bayaran (wang kerajaan negeri) diberi kepada kontraktor. Bagaimana nak rekod wang ‘derma’ ke dalam akaun bagi tebus balik wang yang sudah keluar? Dalam tatakelola kewangan, perbelanjaan adalah perbelanjaan,” katanya lagi.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu juga mengkritik aspek keselamatan dan perkembangan projek yang tidak mengikut jadual.

“Ia sepatutnya sudah siap 15 peratus namun kenyataan Haniza mengakui kelemahan kontraktor dan ia di belakang jadual,” katanya.

Dia merujuk kenyataan Haniza bahawa hanya 9 peratus kerja naik taraf selesai setakat ini, berbanding sasaran awal 15 peratus.

“Tapak projek juga tidak menggambarkan nilainya, sehingga berlaku kejadian gantung diri di sana. Apakah kontraktor yang mengendalikannya kompeten?” soalnya.