Tender balak: Chegubard tuduh Azmin Ali bohong

chegubard-azmin

SEREMBAN: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berbohong apabila mengatakan penganugerahan kawasan balak di negeri itu dijalankan secara tender terbuka.

Dalam sidang media di Pejabat SAMM di sini pagi tadi, beliau mendakwa dua dokumen Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membuktikan kawasan pembalakan terbabit diberikan kepada dua syarikat tanpa proses tender terbuka.

“Di sini saya tegaskan Azmin menipu dalam kenyataan medianya apabila menyatakan syarikat yang memperolehi kawasan balak itu, mendapatnya secara tender terbuka.

“Dalam tangan saya ada dokumen MMKN yang membuktikan tiada proses tender terbuka dijalankan sebelum dua syarikat itu mendapat kawasan balak.

“Dan kalau benar tender terbuka dijalankan, mana iklan tendernya? Saya sudah buat carian dan tidak jumpa,” katanya lagi.

Memetik laporan media rasmi kerajaan negeri, Selangorkini pada 17 Disember lalu, Azmin mendakwa setiap perolehan di Selangor dibuat secara tender terbuka sejak tahun 2008.

Beliau juga menyifatkan dakwaan Chegubard sebagai fitnah dan mencabarnya agar mengemukakan bukti.

Mengulas lanjut, Chegubard berkata, beliau memberi kata dua kepada Azmin agar menarik balik kenyataannya dan memohon maaf, atau mengisytiharkan dua dokumen tersebut bukan sebagai dokumen rahsia.

“Saya ingin menasihati Azmin sebagai pengerusi MMKN agar mengklasifikasikan semula dokumen ini sebagai bukan dokumen rahsia. Saya berani tampil dan dedahkan kepada awam.

“Azmin juga boleh memohon maaf dan mengaku bahawa ia tidak dijalankan secara tender terbuka,” katanya.