Bauksit: SPRM dapati wujud unsur rasuah

MACC-bauksitPETALING JAYA: Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati telah wujud unsur-unsur rasuah dilakukan oleh pihak tertentu yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran bauksit di Kuantan.

“Sejak kebelakangan ini, SPRM telah menerima banyak aduan berkaitan isu pencemaran alam sekitar akibat aktiviti perlombongan bauksit yang tidak terkawal di Pahang.

“SPRM memandang serius perkara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah serta salah guna kuasa tersebut di bawah Akta SPRM 2009,” menurut satu kenyataan yang diterima FMT sebentar tadi.

Sebelum ini, Kerajaan Pahang diberi tempoh sehingga 15 Januari ini untuk menghentikan sepenuhnya aktiviti perlombongan bauksit di negeri itu.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta ribuan penduduk yang terjejas dengan aktiviti itu juga telah menyuarakan akan membina benteng manusia secara besar-besaran bagi menyekat laluan jentera dan lori mengangkut bauksit di semua pintu daerah di Kuantan.