Remaja keciciran sekolah mengaku rogol rakan

court

KLANG: Seorang remaja lelaki tidak bersekolah mengaku bersalah merogol rakan wanitanya yang terbabit dalam ‘drama’ culik minggu lalu, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Remaja berumur 17 tahun itu membuat pengakuan di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad, namun pengakuan itu tidak direkodkan berikutan ibu bapa remaja terbabit tidak hadir.

Majistret Nor Asma kemudian menetapkan 14 Januari ini sebagai tarikh sebutan kes bagi mendapatkan laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan keputusan hukuman.

Beliau juga menetapkan jaminan sebanyak RM1,000 terhadap tertuduh dengan dua orang penjamin.

Sekiranya ibu bapa remaja yang dituduh itu gagal menjelaskan wang jaminan, remaja terbabit akan dihantar ke Asrama Sentosa Sentul sehingga tarikh sebutan kes.

Majistret Nor Asma juga mengarahkan remaja lelaki berkenaan supaya melaporkan diri ke balai polis setiap malam.

Semalam, seorang remaja perempuan Tingkatan Tiga mengaku sengaja mengada-adakan cerita bahawa dia diculik.

Berikutan itu, Majistret Nor Asma menetapkan 14 Januari ini untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan JKM dan keputusan hukuman untuk remaja perempuan terbabit.

Remaja perempuan berkenaan dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin.