Tidak salah WGN jadi pembekal tunggal Mara Digital

WGN-Scan-Sdn-Bhd

KUALA LUMPUR : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berpandangan perlantikan WGN Scan Sdn Bhd sebagai syarikat pembekal produk tunggal di Mara Digital adalah wajar.

Asalkan syarikat yang dilantik itu mahu bekerja dan hanya dihadkan kepada satu negeri sahaja, kata Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

“Saya rasa tidak mempunyai masalah. Dia bagi kepada syarikat WGN dan negeri-negeri lain bagi kepada syarikat lain.

“Untuk permulaan ini tidak ada masalah. Kita bergaduh pasal permulaan ini, yang lain langsung tidak bergerak nanti,” katanya kepada FMT di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Nadzim turut diminta mengulas mengenai produk-produk yang dibawa masuk ke Mara Digital Mall perlu ditapis terlebih dahulu oleh WGN.

PPIM menganggap perkara itu sesuatu yang baik.

“Kecuali ada caj luar biasa yang tidak munasabah, itu lain,” tegasnya.

Pada 4 Januari lalu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melantik WGN Scan bagi memastikan produk yang dijual di Mara Digital adalah tulen.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata, syarikat terbabit turut bertindak mengesahkan ketulenan produk yang dibawa masuk ke Mara Digital.