Lembaga Disiplin PKR siasat aduan Chegubard

 

hadi,Badrul-Hisham-Shaharin

PETALING JAYA: Lembaga Disiplin PKR hari ini mengesahkan telah memanggil ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard ke sesi pendengaran semalam.

Pengerusi Brigadier General (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khattab berkata, ia berikutan laporan Chegubard terhadap Lembaga Disiplin November lalu berhubung beberapa isu melibatkan kerajaan Selangor, antaranya Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

“Ini hanya siasatan awal dan pencarian fakta (fact finding), belum ada kata putus,” katanya ketika dihubungi FMT.

Katanya lagi, Lembaga Disiplin juga telah menerima beberapa bahan bukti daripada Chegubard dan akan menelitinya pada masa terdekat bagi menentukan langkah selanjutnya.

Chegubard ketika dihubungi mengesahkan telah menyerahkan salinan kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung DEIG yang didakwanya satu pembohongan, dan dua dokumen rahsia Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang didakwanya menunjukkan dua kawasan pembalakan di Selangor dianugerahkan tanpa tender terbuka.

“Tindakan-tindakan (Azmin) memberi kesan buruk kepada imej parti. Saya sudah serahkan dokumen-dokumen itu kepada Lembaga Disiplin dan kini terpulang kepada mereka untuk menilainya,” katanya lagi.