Timbalan Ketua AMK perlu dikenakan tindakan – EXCO AMK

Afif-Bahardin,Halimah-Nasoha

PETALING JAYA: Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dr Afif Bahardin didakwa melanggar kod etika dan disiplin parti kerana membuat keputusan memecat ahli EXCO tanpa persetujuan Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Gesaan itu dibuat EXCO AMK, Halimah Nasoha yang baru-baru ‘mengamuk’ apabila perbualan lucah kumpulan AMK yang melibatkan dirinya disebarkan kepada umum.

Halimah baru-baru ini dipecat sebagai EXCO AMK oleh Afif kerana dikatakan melanggar disiplin parti apabila kerap kali tidak hadir mesyuarat.

Halimah bagaimanapun mendakwa dia dipecat kerana tegurannya terhadap pergaduhan antara Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.

Semalam, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan bahawa Halimah tidak dipecat dan masih sah memegang jawatan EXCO.

“Timbalan AMK, Afif telah melanggar kod etika dan disiplin parti yang harus dipandang serius dan diambil tindakan. AMK Pusat harus belajar soal disiplin sebelum sentuh soal displin individu lain.

“Ini membuktikan bahawa Timbalan Angkatan Muda, Afif telah melakukan kesilapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Halimah berkata, kejadian yang berlaku ke atas dirinya itu membuktikan wujud kumpulan pembodek Timbalan Presiden,Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sangup bergaduh sesama ahli parti untuk kepentingan peribadi.

“Ini adalah antara sebab mengapa saya menjarakkan diri dari AMK Pusat. Sikap segelintir pembodek Azmin yang tidak berhenti bergaduh dan hanya ingin menunjukkan kekuatan berkumpulan amat menjengkelkan,”katanya.

Dia juga mempertahankan kenyataannya mencabar Azmin supaya megambil tindakan mahkamah ke atas Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard sekirannya pendedahan yang dibuat bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu berhubung skandal balak Selangor tidak benar.

Lembaga Disiplin PKR baru-baru ini memaklumkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan yang dibuat Chegubard terhadap Azmin.