PETALING JAYA: Kerajaan diminta supaya mengambil kira kepentingan rakyat dengan tidak menambah lagi bebanan baharu ketika membuat pengubahsuaian semula bajet 2016.
Perkara itu disuarakan oleh Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Bik Abdul Aziz apabila memberitahu, langkah itu antara yang perlu `diubahsuai’ oleh kerajaan sebagai menyelesaikan kos sara hidup yang semakin menekan.
“Pemuda PAS menjangkakan perbelanjaan operasi akan dinilai semula sepertimana yang telah dilakukan pada penstukturan bajet tahun lalu.
“Oleh itu Pemuda PAS menolak sekiranya kerajaan berpendapat untuk memotong gas petroleum cecair (LPG) disebabkan kerugian sehingga RM800 juta subsidi berkenaan atas faktor penyelewengan yang telah dilaporkan media masa awal Januari lalu.
“Ia bukanlah utama penyelesaian terhadap masalah penyelewengan yang berlaku,” katanya menerusi kenyataan media yang dipetik dari Sinar Harian Online.
Menurut Nik Abduh lagi, di dalam menghadapi dua aspek besar ini iaitu pengubahsuaian semula bajet dan menangani masalah kos sara hidup, Pemuda PAS menyarankan kerajaan agar melihat pada unit ekonomi yang lebih kecil iaitu ekonomi kekeluargaan.
“Pengubahsuaian bajet ini perlu dilakukan serampang dua mata. Ia tidak boleh hanya menyelesaikan masalah negara yang mengalami kekurangan pendapatan, malah, dalam masa yang sama, ia juga perlu menyelesaikan masalah rakyat yang semakin tidak cukup wang untuk berbelanja,” ujarnya.