Memang saya tidak pernah memohon maaf, kata Nasrudin

Nasrudin-Hasan-Tantawi,lim-guan-eng

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan bertegas tidak pernah memohon maaf kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah pemimpin DAP itu.

Menurutnya, beliau memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman, Lim Chong Fong di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam, yang beliau tidak mengaku bersalah dan bersedia untuk dibicarakan, sebelum diajak berunding oleh Guan Eng untuk penyelesaian luar mahkamah.

“Realitinya sejak setahun lalu, peguam saya telah menerima beberapa surat daripada pihak LGE (Lim Guan Eng) agar saya memohon maaf secara terbuka. Sepanjang itu juga saya tegaskan tiada sebab untuk memohon maaf.

“Ketika tiba di mahkamah, saya sekali lagi diajak berunding. Selepas menimbangnya saya buat keputusan untuk tidak memohon maaf kerana saya tidak memfitnah LGE seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, penyelesaian akhirnya tercapai apabila Guan Eng bersetuju beliau tidak perlu memohon maaf, tetapi hanya menyatakan berlaku salah faham ekoran perbezaan penggunaan terminologi seperti ‘direct nego’, ‘open tender’ dan ‘Request For Proposal’ (RFP).

Isu ini bermula dua tahun lalu apabila Nasrudin menulis makalah mendakwa Kerajaan Pulau Pinang menganugerahkan projek pembinaan terowong dasar laut bernilai RM4.63 bilion kepada Konsortium Zenith BUCG Bhd secara rundingan terus.

“Mereka yang saman, mereka juga yang memohon untuk selesaikan di luar mahkamah sedangkan saya sedia dibicarakan. Apabila kes sudah selesai, ‘spin’ seolah-olah saya bersalah. Kalau begitu, lebih baik teruskan perbicaraan sehingga akhir,” katanya lagi.

Terdahulu, pegawai khas undang-undang Guan Eng, Raja Syarafina Raja Shuib mendakwa kenyataan defendan (Nasrudin) memang menyatakan kesal dan mengakui artikel yang ditulisnya tidak berasas.

“Maka, jika masih ada putar belit dalam mana-mana laporan media berhubung penyelesaian damai itu, pihak YAB KM (Ketua Menteri Lim Guan Eng) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.