Pemandu langgar peserta perarakan Thaipusam ditahan

thaipusma

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu yang disyaki melanggar sekumpulan peserta perarakan Thaipusam hingga menyebabkan tiga maut dan tiga lain cedera parah di sini, semalam, ditahan polis.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S Markandan, berkata suspek lelaki berumur 25 tahun itu ditahan selepas dia menyerah diri di balai polis trafik Jalan Bandar.

“Suspek menyerah diri pada kira-kira 7.20 malam ini dan kini sedang disiasat polis,” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Ditanya sama ada suspek akan direman, Markandan berkata, ia mengikut keperluan.

“Jika perlu kami akan membuat permohonan reman dalam masa terdekat,” katanya.

Markandan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kejadian yang disifatkan langgar lari itu berlaku di Lebuh Raya Seremban-Kuala Lumpur berhampiran Seri Petaling, pada jam 8.00 pagi.

Kesemua mangsa dari Senawang, Negeri Sembilan itu, merupakan sebahagian daripada sekumpulan 45 penganut Hindu yang dikatakan sedang berjalan kaki ke Batu Caves untuk menyertai perayaan Thaipusam, yang akan disambut hari ini.

-BERNAMA