Najib ada hak gugur jawatan Mukhriz tapi bukan Menteri Besar

kjuli,najib,mukhriz

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk menggugurkan semua jawatan yang disandang Datuk Seri Mukhriz Mahathir di dalam parti Melayu itu.

Bagaimanapun, dalam pentadbiran Kedah, penukaran Mukhriz sebagai Menteri Besar perlu dilakukan berlandaskan undang-undang tubuh kerajaan negeri tersebut, ujar Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Krisis UMNO Kedah itu terpulang kepada kedudukan struktur pimpinan di sana. Jadi, kalau sampai masa menukar pimpinan itu hak presiden untuk tukar.

“Tetapi kalau untuk tukar dia sebagai Menteri Besar, itu perlu bersandarkan kepada Perlembagaan (undang-undang tubuh kerajaan negeri),” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Gua Musang itu lagi, beliau percaya, pertalian darah antara Mukhriz dan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah punca ada usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar kedah itu.

“Ia berkemungkinan,” ujarnya ringkas.