Berkat GST, kerajaan mampu teruskan biasiswa – Najib

najib razak

PETALING JAYA: Berkat pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kerajaan masih mampu menyediakan biasiswa di saat kemelut ekonomi yang melanda, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Dengan penurunan harga minyak yang mendadak, apa yang akan terjadi kepada ekonomi negara jika tidak ada GST? GST bukan untuk susahkan rakyat, tetapi penyelamat kepada rakyat Malaysia.

“Malaysia masih mampu mengekalkan penjawat awam, tiada seorang pun yang diberhentikan termasuk lantikan kontrak. Kerajaan masih mampu menyediakan biasiswa, laksana BR1M,” katanya ketika berucap di Hari Kastam Sedunia ke-34 pagi tadi.

Kenyataan Najib itu di tengah desas-desus bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menghentikan tajaan biasiswa kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Malah FMT pernah melaporkan sekumpulan pelajar yang telah mendapat tawaran daripada universiti di luar negara mendakwa pihak jabatan memaklumkan biasiswa memang digantung buat sementara waktu.

Dalam perutusan khas pengubahsuaian Belanjawan 2016 sebentar tadi, Najib mengumumkan JPA akan meneruskan empat program tajaan JPA.

Dua daripadanya melibatkan penghantaran ke luar negara, iaitu Program Biasiswa Nasional bagi 20 pelajar terbaik ke universiti terkemuka seluruh dunia, dan Program Khas Kejuruteraan bagi 200 pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.

Justeru, Najib menyifatkan tindakan kerajaan melaksanakan GST bermula 1 Aprl 2015 sebagai langkah yang amat kena dan tepat pada masanya.

“Kita perlu melihat bagaimana hasil negara mampu menampung kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Jika keadaan ekonomi tidak stabil, akan timbul rusuhan dan pergaduhan yang akan membawa mudarat yang amat serius,” katanya lagi.