Mukhriz perkuda nama Istana untuk pertahan jawatan

mukhriz,kedah

PETALING JAYA: Laman blog pro UMNO, MYKMU.NET  mendakwa, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memperkudakan nama Istana demi mempertahankan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah.

Memetik maklumat sumber yang rapat dengan Istana Kedah seperti dilapor blog berkenaan, Tengku Temenggong dan dua lagi kerabat yang menganggotai Jemaah Pemangku Sultan Kedah tidak pernah tersinggung atau murka dengan kenyataan politik mana-mana pihak termasuk sidang media oleh 14 Ketua UMNO Bahagian di negeri itu.

Malah, Jemaah Pemangku Sultan Kedah juga tidak pernah menzahirkan apa-apa pandangan politik terhadap mana-mana pihak dalam krisis pertukaran Menteri Besar Kedah.

Mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah bahawa Istana tersinggung dengan perbuatan sidang akhbar 14 Ketua UMNO bahagian minggu lalu, sumber tersebut mengulas,

“Seperti mana dalam kenyataan sebelum ini, Jemaah tidak masuk campur dalam politik dan hanya akan membuat keputusan berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.

“Tidak timbul soal tersinggung kerana ia adalah keputusan politik yang tidak membabitkan isu Kesultanan, agama Islam atau kepentingan Melayu.

“Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Jemaah tetapi secara peribadi saya kecewa dengan cubaan membabitkan Istana dalam kemelut ini.

“Tidak benar Istana ada menzahirkan hasrat supaya ADUN-ADUN BN dan Ketua UMNO Bahagian memohon ampun kepada Istana. Ia tidak berbangkit langsung,” ujar sumber berkenaan.

Sebelum ini, Polis Kedah ada memberi amaran agar tidak ada pihak mengheret pihak istana dalam kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Zamri Yahya berkata, perbuatan menyebarkan berita mengenai keengganan pihak istana berjumpa dengan mana-mana ahli politik Kedah wajar dihentikan.