Amaran Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan

Datuk-Muhamad-Sharip-Othman

REMBAU: Undang Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman memberi peringatan tegas kepada broker tanah dan pemaju supaya tidak bermain helah supaya orang Melayu menjual tanah di sekitar jajaran projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR).

Katanya, beliau dan pembesar adat di sini, mahu broker tanah dan pemaju menyedari bahawa pemilikan orang Melayu, terutamanya tanah adat Melayu yang tidak boleh sewenang-wenangnya ditukar hak milik.

“Tanah adat tidak boleh dipindah milik ke bangsa lain atau orang Melayu luar. Kalau Tanah Simpanan Melayu hanya daripada Melayu ke Melayu.

“Nilai tanah milik Melayu akan meningkat di sepanjang jajaran HSR dan ia menarik pembangunan, namun jika membabitkan tanah adat dan Tanah Simpanan Melayu, ia tidak semudah itu untuk dibangunkan. Ada syaratnya,” katanya ketika ditemui FMT di sini, baru-baru ini.

Baru baru ini, dalam ucapan pengubahsuaian Bajet 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan projek utama Aliran Transit Ringan 3 (LRT3), Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) dan projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR), akan diteruskan.

Jajaran laluan HSR sepanjang lebih 300 km antara Singapura dan Kuala Lumpur dicadangkan membabitkan dua perkhidmatan iaitu perkhidmatan terus ke Singapura dan satu lagi, perkhidmatan transit antara bandar iaitu Bandar Malaysia, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Nusajaya, dan menyeberangi tambak ke Singapura.

Bagaimanapun, perkara itu masih lagi dalam peringkat perbincangan dan jajaran itu akan hanya dimuktamadkan selepas kajian terperinci ke atas aspek kejuruteraan, selesai.

Mengulas lanjut, Undang Muhamad Sharip berkata, Tanah Simpanan Melayu hanya boleh dijual beli dan dibangunkan dalam kalangan orang Melayu sahaja, manakala tanah adat pula digazetkan untuk suku Melayu tertentu di negeri itu.

Jelasnya, beliau selaku Pembesar Memerintah di Negeri Sembilan mempunyai kuasa membatalkan transaksi, jika tanah adat dijual kepada orang luar serta berhak menegur kerajaan negeri berkaitan Tanah Simpanan Melayu.

Sementara itu, Datuk Baginda Tan Mas Johol, Datuk Muhammad Abdullah turut menegaskan tanah adat dan Tanah Simpanan Melayu di jajahan Johol tidak boleh disentuh sama sekali oleh mana-mana pihak.

Beliau yang juga Timbalan Undang Johol berkata, projek HSR itu akan meningkatkan nilai hartanah di Johol dan jajahannya, sekali gus mengingatkan orang Melayu berdekatan jajaran HSR agar tidak termakan pujukan broker tanah dan pemaju.

“Orang Melayu Luak Johol yang berdekatan jajaran HSR itu harus menggunakan peluang menjana ekonomi yang lebih mapan tanpa mengorbankan tanah milik masing-masing.

“Broker tanah dan pemaju tak usah fikir untuk sentuh tanah adat Melayu di Johol, kami tidak akan benarkan tanah berkenaan dipindah milik melainkan kepada yang layak,” katanya.