Kubah masjid: Kos mahal sebab guna bahan import

Masjid Negeri Shah Alam

PETALING JAYA: Projek menggantikan kubah Masjid Negeri Shah Alam melibatkan kos sehingga RM32.4 juta kerana kerja pembaikan yang banyak serta menggunakan bahan import.

Sehubungan itu, tuduhan ahli PKR seumur hidup, Badrul Hisham Shaharin, bahawa projek tersebut adalah satu pembaziran dan tidak sepatutnya dijalankan di saat negara mengalami kegawatan ekonomi, merupakan tuduhan melulu.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Taman Medan Haniza Talha berkata, Badrul Hisham atau Chegubard sepatutnya meneliti dahulu perincian projek itu untuk memahami kosnya, sebelum membuat tuduhan.

“Bahan yang digunakan untuk menggantikan kubah lama perlu diimport dari luar negara dan harganya memang tinggi. Ditambah lagi dengan kerja pembinaan dan pembersihan.

“Jika anda tengok keadaan kubah sekarang, memang sudah terkopek teruk. Jadi nak tak nak, memang perlu tanggung (kos sebanyak itu),” katanya kepada FMT.

Memetik media rasmi kerajaan Selangor, Selangorkini, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Mas Abdul Rahman Mas Mohamed berkata JKR memilih bahan vitrous enamel yang lebih selamat dan lasak bagi membina kubah baru masjid itu.

Kubah baru itu juga akan mempunyai 77 bilangan punca air pada permukaan kubah bagi tujuan penyelenggaraan, katanya seperti dipetik laporan itu.

Dalam pada itu, Haniza memberi jaminan bahawa kos itu adalah terendah kerana penganugerahan projek itu dijalankan secara tender terbuka.

“Lagipun ia diluluskan ketika pentadbiran Menteri Besar dahulu. Jika dibatalkan, kerajaan perlu membayar pampasan. Kebetulan ia diteruskan ketika keadaan ekonomi teruk,” katanya lagi.