Kereta peronda polis perlu dipasang kamera elak rasuah

musa-hassan_Kereta-peronda-polis_600

PETALING JAYA: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mencadangkan kereta peronda polis dipasang sistem kamera untuk menanggani gejala rasuah dalam kalangan anggota polis.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia berkata, ia susulan banyak kes rasuah dalam kalangan anggota polis menjadi viral di laman sosial.

“Saya pernah cadangkan supaya semua kenderaan polis diletak kamera dan apa-apa tindakan yang diambil anggota polis dapat dirakam.

“Sekarang zaman teknologi, kalau dulu benda ini tidak dijadikan viral sekarang ini masyarakat ada telefon dengan teknologi canggih.

“Maka trend zaman sekarang ini mereka ambil video dan viralkan. Malah semasa saya menjadi Ketua Polis Negara, saya mengarahkan mereka memakai lencana anti rasuah, kalau ambil rasuah mereka akan malu,” katanya dalam ditemubual khas bersama MACC.fm hari ini.

Dalam temubual itu, Musa turut mengingatkan anggota penguatkuasa supaya mempunyai etika kerja yang tinggi serta menggelak diri dariapada terjebak dalam gejala terkutuk itu supaya dihormati masyarakat.

Beliau mencadangkan enam perkara yang perlu diterapkan pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan gejala rasuah dapat dikurangkan.

“Untuk SPRM menjadi lebih berkesan, enam perkara perlu dipatuhi iaitu risikan yang bermutu tinggi, penguatkuasaan, pencegahan, pemantauan dan pemulihan,” katanya.