PKR Selangor desak pecat Chegubard

Azmin-Ali

PETALING JAYA : PKR Selangor mendesak ‘musuh dalam selimut’, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard digugurkan keahlian parti atau dikenakan tindakan displin tegas kerana berterusan menyerang Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Zainol Abidin Mohamed mahu Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Jawatankuasa Disiplin parti membuka semula aduan yang dibuat AMK sebelum ini berhubung kelakuan Chegubard

“Kita minta Bad (Badrul) digugurkan keahliannya kerana kita tak mahu sedikit kudis. Bad jadi barah kepada parti yang kita sanjung ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Isnin lalu, CheguBard muncul bersama sekumpulan pimpinan cabang dari Selangor mendakwa Azmin, yang juga Pengerusi PKR negeri mengamalkan pilih kasih dan kronisme dalam pemilihan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Chegubard juga mendakwa Azmin membelakangi cabang parti dengan tidak mengendahkan calon yang dicadangkan tetapi melantik orang luar menjadi ahli majlis di PBT tertentu.

Sementara itu, EXCO AMK pusat, Ridzuan Basri mahu PKR agar tidak lagi membiarkan Chegubard terus menyerang pimpinan tertinggi parti itu ‘hampir setiap minggu’.

Katanya, PKR seharusnya mengenakan tindakan tegas kepada Chegubard yang disifatkan sebagai ‘duri dalam daging’.

“Tindakan beliau yang saban minggu menabur fitnah dan mengganggu-gugat kestabilan parti sememangnya telah mencemarkan imej parti ke tahap yang sangat membimbangkan,” katanya.

Ridzuan juga menyifatkan serangan Chegubard itu sebagai ‘dendam peribadi’ antara bekas Ketua Cabang Rembau itu dengan Azmin.

Setiausaha PKR Selangor, Borhan Abu Samah pula menyatakan pimpinan negeri telahpun bertemu dengan kerajaan negeri serta Pejabat Menteri Besar dan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

Beliau berkata, pentadbiran Azmin tidak mengamalkan kronisme seperti yang didakwa Chegubard.

“Kalau tak puas hati, semua pihak boleh berbincang dan dapatkan maklumat sebenar daripada kerajaan Selangor,” katanya.