“Saya berserah pada Allah,” jawab Rafidah

PETALING JAYA: Bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz menyambut kenyataan keras yang dilemparkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dengan rasa tawakal.

Rafidah berkata dirinya hanya mengambil tanggungjawab menasihati pucuk pimpinan, sebagai ahli parti dan warganegara.

“Ni lah yang saya dapat kerana memberi nasihat dari hati dengan ikhlas dan kerana sayang pada parti dan negara. Saya berserah kepada Allah yang maha mengetahui segala-galanya. Saya tidak jejas apa-apa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya.

Sebelum ini, Rafidah menegur sikap sesetengah menteri yang padanya menutup mata daripada mengkritik kelemahan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak demi menjaga jawatan.

Nazri menjawab teguran itu dengan berkata Rafidah bebas untuk ‘menyalak’ walaupun tidak akan diambil peduli kerana tidak lagi mempunyai pengaruh.

Sebelum mengakhiri muatnaik kali ini, bekas Ketua Wanita UMNO itu sempat menegur Nazri yang mengeluarkan kenyataan dengan bahasa yang dilihatnya tidak sesuai digunakan seorang menteri.

“Ini adalah contoh sesetengah orang berkomunikasi, dengan menggunakan bahasa yang terbaik. Bahasa terbaik mereka,” katanya lagi.