Najib selar netizen penyebar berita palsu

najibPETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib menyelar tindakan sesetengah ‘pejuang’ papan kekunci, tentera siber, dan juga portal berita yang menyalahgunakan internet untuk menyebarkan maklumat palsu.

Menurut Najib, teknologi telah disalahgunakan untuk menghasut, membawa isu perkauman dan tidak menunjukkan sikap tolak ansur antara agama.

“Pejuang papan kekunci, tentera siber dan juga portal berita telah membawa dunia maya sebagai suatu permainan, mencipta realiti versi mereka sendiri dengan tajuk yang mencuri perhatian untuk kepentingan dan agenda masing-masing. Ini adalah amalan kewartawanan yang tidak sihat,” katanya.

Jelas Najib di blog, dunia maya ini dikongsi oleh semua pihak secara sejagat dan seharusnya ia tidak disalahgunakan.

“Internet adalah ruang terbuka untuk rakyat bersuara. Tetapi ia terpulang pada kita untuk kekal sederhana dan tidak terperangkap dengan agenda oleh pengguna-pengguna yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Najib mengingatkan agar pengguna internet bijak membezakan kebenaran, separuh benar, pembohongan dan pandangan sebelum membuat sebarang pertimbangan.

“Kita harus terus menggunakan internet dan media sosial sebagai platform untuk mempromosikan perpaduan dan membendung ia daripada dirampas. Internet adalah suatu alat yang mempunyai kuasa untuk membentuk dan membentuk masyarakat. Ia juga ruang yang besar untuk menggalakkan perbincangan.

“Saya menggesa agar rakyat Malaysia terus terus bersatu dan menggunakan internet untuk kebaikkan bersama. Ia adalah tanggungjawab kita untuk memastikan keharmonian ini dipelihara,” katanya lagi.

Sebelum ini, akses kepada laman web TMI disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas sebab melanggar Seksyen 233 akta yang sama, berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.