Enam individu diseksa dilokap, direman lebih 70 hari – SUARAM

nalini_polis_600

KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mendakwa, polis telah mereman seramai enam individu selama lebih 70 hari di 14 buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berbeza tetapi masih belum didakwa.

Malah, Koordinator SUARAM, E Nalini mendakwa, enam individu berkenaan yang disyaki terlibat dalam rompakan bersenjata turut melalui pelbagai seksaan sepanjang berada di lokap bagi tujuan memaksa mereka membuat pengakuan.

Katanya, SUARAM mengetahui perkara itu selepas diberitahu oleh tahanan sendiri serta ahli keluarga mereka.

Ujarnya, sejak ditahan di Tapah pada 11 Disember 2015, enam tahanan itu pada mulanya dibawa ke IPD Shah Alam sebelum dipindahkan ke IPD yang lain bagi setiap lanjutan reman.

“Selama dalam tahanan, mereka diseksa seperti tahanan SOSMA sebelum ini – dipaksa minum air urin dan air dicampur habuk rokok, dipukul dengan paip getah, dan diletakkan dalam tahanan pengasingan (solitary confinement). Mereka juga dinafikan rawatan perubatan,” katanya kepada pemberita di IPD Dang Wangi hari ini.

Suaram bersama-sama keluarga tahanan hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan itu.

E Nalini turut mempersoalkan tindakan polis yang masih belum membuat pendakwaan, walaupun tahanan telah direman dalam tempoh yang lama.

“Reman adalah untuk polis menyiasat. Namun sehingga hari ini belum ada pendakwaan. Tahanan pula hanya diberitahu ditahan atas kesalahan rompakan bersenjata (tanpa maklumat lanjut),” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy berkata, dia dimaklumkan tuduhan juga sering berubah.

Dia turut melahirkan rasa kecewa kerana isu seperti itu masih berlaku, walaupun SUARAM sudah sekian lama membangkitkannya.