Ahli akademi, Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan tindakan MT itu sesuatu yang dahsyat lagi pelik.
“UMNO menafikan pilihan perwakilan, kenapa tidak ditunggu sehingga ke pemilihan akan datang selain tindakan ini juga dilihat agak drastik. UMNO sudah tidak mampu berhadapan dengan ahli mereka sendiri.
“Ini memberi gambaran bahawa Datuk Seri Najib Razak kini dalam kedudukan yang cukup genting sehingga tidak mampu menghadapi kritikan dari dalam parti dan luar parti,” ujarnya ketika dihubungi FMT, malam tadi.
Seorang lagi ahli akademi, Dr Maszlee Malik pula berpendapat penggantungan Muhyiddin itu merupakan pilihan yang lebih selamat.
“Jika Muhyiddin dibuang UMNO, beliau tidak bersendirian, pastinya gelombang reformasi 1998 akan berulang.
“Keputusan menggantungnya adalah strategi untuk meletakkan beliau di dalam ‘cold storage’,” kata beliau, ketika dihubungi FMT.
Sementara itu, Aziz berkata penggantungan Muhyiddin itu membuktikan Najib bukanlah pemimpin berjiwa besar seperti yang diuar-uarkan.
“Itu cakap mulut sahaja. Nampak dia (Najib) tidak bersedia mengotakan janjinya. Tidak mampu ‘walk the talk’,” kata beliau lagi.
“Kalau UMNO sudah tidak bagi ruang untuk kebenaran, takkan masih nak bersama UMNO. Kalau dia kata masih bersama UMNO, itu tidak masuk akal. Jika Muhyiddin sanggup jadi ahli biasa, lain cerita, tetapi apa yang dia boleh lakukan?” soalnya.
Bagi Maszlee pula, Muhyiddin perlu mendampingi seorang lagi penentang Najib, Tun Dr Mahathir Mohamad jika mahu kekal relevan dalam kancah politik.
