Rosmah kecewa internet tidak dimanfaatkan sebaiknya

rosmah_internet_600

MELAKA: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kecewa dengan pihak yang gagal memanfaatkan kebaikan internet, sebaliknya menjadikannya sebagai medium menyebarkan berita palsu, fitnah dan hasutan untuk mengganggu ketenteraman negara.

Beliau berkata, internet kini dilihat menjadi medan memburukkan sesiapa sahaja yang tidak disukai sama ada pemimpin, tokoh terkemuka, ahli korporat mahupun individu.

“Justeru saya ingin nasihatkan anggota Pandu Puteri di negara ini supaya menjadi pengguna internet yang bijak. Saringlah serta periksa maklumat yang diperoleh sama ada sahih atau fitnah,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Peringatan Sedunia 2016 peringkat kebangsaan bertemakan ‘Connect’ di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.

Rosmah yang juga Yang Dipertua PPPM turut menasihatkan golongan remaja terutama anak gadis supaya berhati-hati ketika berhubung dengan orang yang tidak dikenali menerusi alam maya.

“Jangan dedahkan sebarang maklumat rahsia dan peribadi kepada mereka yang tidak dikenali untuk mengelak kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Pada masa sama, Rosmah mahu anggota PPPM menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar badan beruniform itu sentiasa seiring dan tidak ketinggalan dengan proses kemajuan dunia.