PUTRAJAYA: UMNO perlu menimbang untuk menjadikan DAP sebagai rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN) bagi mendapatkan kembali undi masyarakat Cina.
Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, ini kerana MCA sudah tidak lagi menjadi parti komponen yang mewakili masyarakat Cina di negara ini.
“Anda tidak boleh nafikan sebenarnya MCA tidak wujud lagi. Pendek kata, MCA bukan lagi mewakili orang Cina. Saya bermimpi jika kata MCA akan dapat sokongan golongan muda Cina, tidak mungkin.
“Parti yang mewakili orang Cina sekarang adalah DAP, walaupun DAP kata mereka bukan (parti berasaskan) perkauman,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Selepas PRU ke-13, MCA hanya memiliki tujuh ahli Parlimen, berbanding DAP seramai 37.
Sehubungan itu, Zainuddin atau Zam berkata, UMNO perlu menimbang untuk bekerjasama dengan parti itu.
“MCA bukan parti yang ada kekuatan untuk menyumbang dalam BN. Bolehkah MCA menang dalam pilihanraya akan datang? Jadi UMNO harus terima hakikat bahawa DAP boleh menggantikan MCA,” katanya.
Pada 28 Februari lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata bahawa MCA perlu mencari pemimpin yang mampu menandingi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng jika mahu mendapat kembali sokongan.
Ahli jawatankuasa Kerja Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker menyangkal tanggapan itu dan berkata masalah parti kedua terbesar dalam BN itu berpunca ekoran pertukaran pemimpin yang terlalu kerap.