Muhyiddin rujuk penggantungan ke RoS

muhyiddin,ros

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merujuk kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengenai pergantungannya sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Muhyiddin berkata, tindakan itu dibuat kerana merasakan penggantungannya itu tidak mengikut prosedur yang betul.

“Saya telah menyatakan penggantungan tidak mengikut prosedur sebagai contoh saya tidak diberikan apa-apa surat tunjuk sebab untuk jelaskan apa yang berkaitan disiplin.

“Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin. Saya tidak diberikan peluang yang adil untuk bela diri mengikut prosedur dan proses tatacara disiplin yang ditetapkan parti. Majlis Tertinggi UMNO buat keputusan secara gopoh,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Muhyiddin mahu mendapatkan penjelasan daripada RoS sama ada penggantungannya itu mengikut prosedur dan undang-undang parti.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin menafikan beliau tidak mempertahankan dirinya daripada digantung jawatan pada Jumaat lalu.

Katanya, beliau tidak dapat hadir mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO disebabkan mempunyai urusan lain di luar negara.

“Saya tak dapat hadir kerana ada hal lain di luar negara. Tiada agenda khas diaturkan dalam mesyuarat tersebut. Bagi saya ia tidak mengikut tatacara yang berperlembagaan,” katanya.