Beri pampasan pada penduduk sebelum usir, gesa CAP

SM Idris

BUKIT MERTAJAM: Penduduk Kampung Permatang Tok Subuh di Bukit Minyak di sini tidak sepatutnya diusir daripada rumah masing-masing tanpa pampasan setimpal dan kediaman tetap daripada pemaju.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata penduduk kampung yang miskin itu dan waris mereka berhak kepada pampasan dan keperluan asas yang sempurna serta selesa.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata Kerajaan Pulau Pinang dan pemaju perlu mencari jalan untuk menyediakan teduhan tetap buat 26 keluarga yang terjejas.

“CAP menggesa pihak pemaju membatalkan tindakan mengusir penduduk-penduduk Kampung Permatang Tok Subuh, daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dari kediaman mereka sebelum penyelesaian terbaik tercapai dan segala tuntutan yang dibuat dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 17 Feb lalu, penduduk kampung terima notis supaya mengosongkan rumah masing-masing sebelum 4 Mac, iaitu hari ini.

Menurut Idris, CAP dimaklumkan oleh penduduk bahawa mereka terkejut bagaimana tanah kampung yang diteroka sejak 70 tahun yang lalu telah dijual kepada pihak pemaju tanpa pengetahuan mereka.

Idris berkata pihaknya berasa kesan dengan masalah yang dihadapi penduduk kerana nasib mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kerajaan meskipun isu tersebut sudah lama berlarutan.

“Apakah kerana pembangunan penduduk-penduduk miskin di kampung ini sewenang-wenangnya diusir tanpa rumah untuk didiami serta pemberian pampasan yang setimpal bagi meneruskan kehidupan masa depan mereka.

“Sehubungan itu CAP meminta kerajaan Pulau Pinang, Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menyiasat dan memberi penjelasan hasil siasatan tersebut kepada penduduk terbabit bagi memastikan penjualan dan pengambilan tanah di Kampung Permatang Tok Subuh dibuat berlandaskan undang-undang yang betul dan adil,” kata Idris.