Anggota polis dimaki lelaki kurang siuman

maki-polis

PETALING JAYA: Seorang anggota polis dihambur dengan kata-kata kesat oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman selepas dia menghalang lelaki itu tidur di dalam kawasan balai.

Menerusi visual yang menjadi viral, lelaki terbabit yang memakai baju Melayu warna merah serta berkopiah dilihat turut menengking ke arah anggota berkenaan di meja khidmat pelanggan di dalam sebuah balai polis dengan pelbagai aksi melucukan.

Kejadian dipercayai berlaku di Terengganu berdasarkan pertuturan yang didengari menerusi audio pada video tersebut.

Tidak dapat dipastikan bila tarikh kejadian itu berlaku.

Berdasarkan pemerhatian lelaki terbabit telah meminta anggota tersebut menyerahkan pistol yang ada padanya kerana merasakan dirinya tidak selamat.

Lelaki itu turut memberitahu bahawa dia mempunyai ramai kenalan termasuk orang kenamaan dipercayai dengan tujuan mahu menggertak anggota berkenaan.

Bagaimanapun, anggota tersebut menunjukkan sikap profesional apabila tidak mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki terbabit meskipun ia dihambur dengan kata-kata yang menyakitkan hati.

Pengguna alam maya yang telah menonton video tersebut turut memberikan pujian kepada anggota berkenaan dengan menyifatkan ia sebagai seorang anggota yang penyabar.

LINK VIDEO: Anggota polis dimaki lelaki kurang siuman