Kenapa saya dipanggil sebagai saksi, bukan suspek – Rafizi

rafizi,polis,th

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan polis memanggilnya ke balai hanya sebagai saksi dan bukannya suspek berhubung laporan yang dibuat oleh Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini.

“Saya diambil keterangan sebagai saksi. Tapi soalan semua berkisar tentang apa yang saya tulis. Saya yang banyak pengalaman disiasat agak jelas soalannya kepada suspek.

“Kalau dengan harapan saya nak beri keterangan dan kemudian dakwa saya..saya rasa itu agak nakal dan sepatutnya tak dibuat,” katanya ketika ditemui selepas diambil keterangan lebih satu jam di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, hari ini.

Pada 28 Februari lalu, Lembaga Tabung Haji membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pandan itu berhubung dakwaan agensi terbabit dikatakan memberi jaminan korporat kepada sebuah syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Bagaimanapun, Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporatnya dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut dan meminta Rafizi untuk menamakan bank yang memberikan pinjaman kepada THHE dengan surat jaminan korporat TH seperti yang didakwa.

Rafizi menyifatkan tindakan yang dibuat TH terhadapnya itu akan menambahkan lagi keraguan para pendeposit terhadap badan berkanun berkenaan seolah-olah ada sesuatu yang hendak disembunyikan.

Tegasnya, apa yang dipersoalkan sebelum ini sepatutnya dijawab oleh TH kepada penabung-penabungnya.

“Yang perlu diyakinkan ialah mereka yang menyimpan wang di Tabung Haji, bukan dengan cara membuat laporan polis dengan harapan siasatan polis itu akan menakutkan saya dan menyebabkan saya berhenti buat komen mengenai Tabung Haji.

“Yang kedua, soalan-soalan ini juga berkisar mengenai analisa saya bahawa rizab Tabung Haji telah negatif. Kenyataan rizab Tabung Haji ini telah negatif bukan saya yang buat, ini adalah surat daripada Bank Negara kepada Tabung Haji.

“Kalau polis siasat saya kerana saya sebut rizab Tabung Haji negatif, polis kena panggil Gabenor Bank Negara siasat benda ini juga kerana yang mula-mula sekali sebut – yang menimbulkan isu ini – dilaporkan Gabenor Bank Negara,” tegasnya.

Untuk rekod, Rafizi diambil keterangan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 203 kerana penyebaran maklumat palsu.