LHDN bayar balik lebihan cukai melalui baucar

LHDN

PETALING JAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memperkenalkan baucar bayaran balik cukai (BBBC) mulai 1 April.

Ia akan dilakukan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan pembayar individu warga Malaysia yang memiliki Mykad, lapor sebuah laman portal.

Menurut LHDN, ia menganggarkan seramai 350,000 orang pembayar cukai individu yang tidak memberi maklumat akaun mereka untuk proses bayaran balik lebihan cukai.

Bagaimanapun, BBBC hanya boleh ditunai atau dikreditkan ke akaun pembayar cukai di Bank CIMB Islamic Sahaja selain ia bukanlah baucar yang boleh digunakan untuk membeli-belah atau membuat penukaran barangan dan perkhidmatan.

Bagi kawasan yang tidak mempunyai cawangan CIMB Islamic, LHDN memberi pengecualian khas BBBC dan masih mengekalkan mod bayaran melalui EFT atau cek.

BBBC mempunyai tahap keselamatan tinggi kerana hanya pembayar cukai yang sah sahaja boleh menunaikannya melalui pengesahan Biometrik di kaunter Bank CIMB dan CIMB Islamic.

LHDN berkata, pembayar cukai digalakkan mengemukakan maklumat lengkap akaun bank agar urusan bayaran lebihan dapat dilakukan melalui EFT yang mudah dan cepat.