Tuan tanah punca Orang Asli dekat Putrajaya dinafikan elektrik, air

Shahrum_tnb_orang-asli_600

PETALING JAYA: Pemilik tanah di Bukit Tunggul didakwa punca bekalan elektrik tidak dapat disalurkan ke Kampung Orang Asal di situ yang bersempadanan dengan Putrajaya.

Pendedahan itu dibuat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif berdasarkan maklumat diperoleh daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Masalah yang kita hadapi ialah apabila tuan tanah tidak membenarkan kabel elektrik melalui kawasan tanah mereka untuk disalurkan ke Kampung Orang Asli Bukit Tunggul,” katanya kepada FMT, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Shahrum berkata, beliau dan TNB akan turun ke kawasan berkenaan untuk berjumpa dengan penduduk kampung terbabit bagi membolehkan projek penyaluran elektrik dapat dijalankan.

“Saya dan pihak TNB bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan berbincang dengan tuan tanah yang terlibat yang telah menyababkan projek TNB untuk memasukkan elektrik tertangguh.

“Sekiranya perkara tersebut diselesaikan, peruntukan daripada Kerajaan Pusat dapat disalurkan segera,” katanya.

Tambah Shahrum, isu sama yang dihadapi penduduk Kampung Orang Asli Bukit Jenuk kini hampir selesai apabila TNB mengarahkan anak syarikatnya untuk menjalankan projek bekalan eletrik apabila Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan.

“Masalah bekalan elektrik di Bukit Jenuk hampir selesai apabila TNB sudah dapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk TNB menjalankan kerja-kerja awal.

“Kerja-kerja tersebut telah pun berjalan dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Julai ini dan saya berharap penduduk bersabar dengan masalah yang dihadapi,” katanya.

Tinjauan FMT ke Dengkil minggu ini mendapati, sekurang-kurangnya empat kawasan penempatan – Kampung Orang Asli Bukit Tunggul Blok A, Blok B dan Blok C tidak mendapat akses elektrik dan air bersih walaupun rumah mereka berdekatan dengan Jalan Kajang-Dengkil dan bersempadanan dengan Putrajaya.

Satu lagi kampung iaitu Kampung Orang Asli Bukit Jenuk sudah mendapat bekalan air bersih, namun belum mendapat bekalan elektrik.