Wan Azizah fail usul tidak percaya terhadap AG

johari-wan-azizah,apandi

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang,Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menghantar notis usul mendesak kerajaan mengenakan hukuman terhadap Ketua Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, notis tersebut telah dihantar Wan Azizah pada 25 Februari lepas kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Walaubagaimanapun, katanya, keputusan untuk membenarkan usul tersebut dibincang di Parlimen belum diputuskan lagi Speaker.

Katanya, usul tersebut dibuat susulan wakil rakyat pembangkang hilang kepercayaan terhadap Peguam Negara yang didakwa cuba bersekongkol membersihkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terlibat dengan skandal RM2.6 bilion.

“Ketua pembangkang telah memasukkan usul supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap Peguam Negara kerana kita hilang keyakinan atas beberapa isu besar di antaranya menggugurkan pendakwaan kepada Najib dan yang berhubung penyalahgunaan kuasa,” katanya ketika sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Johari juga mendakwa Peguam Negara mengamalkan sikap berat sebelah dalam menjatuhkan hukum kepada Perdana Menteri apabila Timbalan Setiausaha Agung PKR Yahya Shari dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan kerana menerima derma berjumlah RM50,000.

Awal bulan ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman terhadap Yahya kerana didapati bersalah menerima derma daripada sebuah anak syarikat kerajaan negeri (GLC) Selangor untuk kegunaan parti.