Polis Trafik wanita perlu buat laporan segera – MyWatch

Datuk-R-Sri-Sanjeevan

PETALING JAYA: Anggota polis trafik wanita yang didakwa menengking seorang pengadu di kaunter pejabat pertanyaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Ahad lepas dinasihatkan segera membuat laporan polis agar perakam video itu disiasat.

Menurut Pengerusi Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan, perakam video yang juga kenalan pengadu yang dimarahi anggota polis itu didapati berniat jahat.

“Perakam (kenalan pengadu) hanya merakam adegan polis sedang marah walhal sewaktu kenalan pihak perakam mengungkapkan kata bodoh tidak pula dimasukkan dalam rakaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Sanjeevan kesal dengan sikap provokasi pengadu dan perakam video sekali gus tidak bersetuju jika anggota polis tersebut dipersalahkan.

“Anggota wanita berkenaan diprovokasi terlebih dahulu. Anggota polis juga seorang manusia dan sudah tentulah kesabaran mereka ada hadnya.

“MyWatch melahirkan rasa kesal dengan sikap orang awam (kenalan pihak perakam) dalam video seperti yang tersebar ini yang cuba melakukan provokasi dengan memanggil anggota polis wanita yang bertugas sebagai ‘bodoh’,” katanya.

MyWatch juga berharap orang awam tidak menjadikan perbuatan perakam itu sebagai contoh kerana ia hanya akan memakan diri sendiri.

“Niat mulanya mahu mengaibkan anggota polis tetapi akhirnya diri sendiri yang malu,” katanya.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadar memaklumkan bahawa anggota polis wanita itu telah ditukar pentadbiran serta-merta.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan memberi jaminan siasatan telus akan dilakukan terhadap insiden berkenaan yang kini menjadi viral di laman sosial.