Jangan elak isu rumah dan skandal Taman Manggis – Ketua UMNO Bagan

rumah rakyat di Taman Manggis

PETALING JAYA: Lim Guan Eng diingatkan agar tidak mengelak isu pembelian rumahnya pada harga lebih murah daripada harga pasaran dengan isu projek rumah rakyat di Taman Manggis.

Ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata, beliau tidak pernah menarik balik dakwaan penyelewengan dalam proses tender ‘Skandal Taman Manggis’, ketika menyelesaikan kes saman antara beliau dan Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Untuk rekod, Guan Eng menyaman Shaikh Hussein pada 2012 kerana mendakwa memfitnahnya menerima rasuah daripada Kuala Lumpur International Dental Center (KLIDC) berhubung isu penjualan tanah di Taman Manggis.

Tanah tersebut sepatutnya dibangunkan projek perumahan rakyat fasa kedua namun dijual kerajaan Pulau Pinang kepada KLIDC bagi projek pembinaan hotel 19 tingkat, enam tingkat hospital persendirian dan lima tingkat tempat letak kereta.

Bagaimanapun, Guan Eng menarik balik saman itu tanpa sebarang syarat pada 5 Oktober 2012.

Dalam sidang media hari ini, Guan Eng dilaporkan berkata, adalah tidak benar mengaitkan pembelian rumahnya pada 2015 dengan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis yang dijual pada 2012 melalui tender terbuka yang kompetitif.

Menjawab kenyataan Guan Eng itu, Shaikh Hussein berkata;

“Untuk makluman semua saya hanya menarik balik kenyataan ini dalam kes penyelesaian luar mahkamah. Dan saya berasakan dan saya tidak menuduh, saya berasakan bahawa dia telah mengambil rasuah daripada Dental, Kuala Lumpur International Dental Centre”

“Saya langsung tidak menarik balik perkara-perkara penyelewengan yang telah saya bangkitkan dahulu terhadap proses tender, penilaian tanah, penilaian tender, perolehan tender, penglibatan pihak berkepentingan dalam Skandal Taman Manggis,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Katanya, beliau sanggup memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan semua dokumen yang berkaitan dengan perkara terbabit.

“Jika SPRM memerlukan kenyataan dan dokumen kukuh yang saya ada untuk membuktikan justifikasi harga jualan banglo yang jauh lebih murah dari harga pasaran.

“Diharapkan siasatan SPRM dan sabitan kes ini nanti akan mengembalikan hak rakyat miskin Pulau Pinang dengan terbinanya rumah projek perumahan rakyat termiskin sewa di bandar George Town,” katanya.