Jangan ingat saya penyangak, curi harta rakyat – Najib

najib-razak,malaysia

KUANTAN: Datuk Seri Najib Razak bertekad untuk terus berjuang mempertahankan kepemimpinannya demi pembangunan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

Perdana Menteri berkata, beliau bukanlah seorang pencuri harta rakyat seperti yang digambarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkannya, yang disifatkannya sebagai sengaja dilakukan untuk memburukkan imej beliau sebagai pemimpin nombor satu negara.

“Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan sebaik-baiknya.

“Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini (Pahang). Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak ambil, saya tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa.

“Bila saya jadi Perdana Menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya Perdana Menteri untuk rakyat,” katanya pada majlis Himpunan Solidariti di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di sini hari ini.