PETALING JAYA: Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menulis surat terbuka dilihat hanya berniat menghancurkan UMNO selain membalas dendam terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak.
Demikian kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dalam blognya yang berpendirian Dr Mahathir tiada hak untuk mencampuri urusan parti UMNO selepas beliau bersubahat dengan kumpulan yang jadi musuh politik Umno selama ini.
“Berpakat dengan musuh-musuh ini untuk menumbangkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, jelas bukan untuk menyelamatkan Malaysia, tapi menghancurkannya.
“Tun Mahathir dan kumpulannya cuba mencari jalan singkat menjatuhkan kerajaan. Mereka tidak mengikut saluran demokrasi, yang menjadi amalan di Malaysia sejak merdeka, dan tidak sabar menunggu proses pilihan raya,” tulisnya.
Merujuk lagi kepada tulisan Dr.Mahathir, Salleh berkata beliau mempunyai cita-cita dan agenda politik yang tinggi kerana dilihat cuba menunjukkan dirinya lebih baik daripada Najib selain menyamakan kebaikan dirinya dengan beberapa perdana menteri sebelum ini.
“Walhal sikapnya tidak mengambarkan keperibadian sebenar. Buktinya, Tun Mahathir tidak mahu mendengar dan tidak mahu menerima apa juga jawapan atau penjelasan yang tidak memenuhi kehendaknya,” simpulnya lagi.