Pegawai KBS suspek rasuah ditahan kerja

Ali-Hamsa-KBS

PUTRAJAYA: Setiausaha bahagian di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang ditahan untuk kes rasuah RM20 juta dikenakan tindakan serta-merta.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, tindakan terhadap pegawai berkenaan diambil di bawah peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (kelakuan dan tatatertib).

“Pihak KBS telah mengemukakan peraturan penahanan kerja pegawai tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi maksud pengeluaran perintah tahan kerja.

“Sekiranya pegawai dituduh di mahkamah atas kesalahan jenayah, pegawai akan diambil tindakan menurut prosedur di bawah peraturan 28.

“Dalam hal ini, pegawai akan ditahan kerja sehingga prosiding jenayah terhadapnya selesai,” katanya dalam sidang media, di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Jelasnya lagi, sekiranya pegawai berkenaan di dapati bersalah oleh mahkamah, pegawai awam itu akan digantung kerja tanpa dibayar apa-apa emolumen (gaji pokok dicampur imbuhan tetap, bayaran insentif dan elaun bulanan).

“Ia dilakukan sehingga Lembaga Tatatertib memutuskan hukuman yang wajar dikenakan ke atasnya yang membawa kepada hukuman maksimuan sehingga buang kerja,” ujarnya.

Selain itu, pegawai berkenaan juga akan disiasat bagi tindakan tatatertib berhubung isu penyelenggaraan taraf kehidupan yang melebihi emolumen atau pendapatan yang sah.

Mengulas lanjut, Ali turut memberitahu bahawa Ketua Jabatan juga boleh menukarkan pegawai yang telah berkhidmat antara tiga hingga lima tahun di jawatan yang dikategorikan sebagai jawatan sensitif.

“Jawatan sensitif adalah jawatan pegawai yang terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa menguatkuasakan undang-undang,” jelasnya, serta “terlibat secara langsung dengan pelanggan semasa proses sesuatu permohonan yang boleh menghasilkan pulangan kewangan atau apa-apa bentuk habuan.”

Pagi tadi, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyatakan beliau sedia maklum pegawai yang berkhidmat di kementeriannya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Khairy, SPRM memaklumkan kepadanya beberapa minggu sebelum tangkapan keatas suspek dibuat pada 18 Mac lepas.