KDN beri amaran kepada PBT, jangan campur politik

jazlan

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak terbabit dengan agenda menghasut oleh mana-mana parti politik.

Timbalan Menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata polis boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana papan iklan yang mempunyai unsur hasutan dan berbaur politik.

“PBT janganlah berpolitik. Mana ada PBT yang benarkan papan tanda berbentuk politik. Papan tanda berbaur politik tak boleh dikeluarkan oleh PBT.

“Buat apa PBT terlibat dalam politik. Polis akan bertindak kalau (billboard) itu dianggap tak sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, sebagai mengulas tindakan polis menurunkan tiga papan iklan #BebasAnwar yang menuntut pembebasan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nur Jazlan berkata, polis bertindak menurunkan papan iklan gergasi #BebasAnwar kerana ia mempunyai unsur hasutan.

Katanya, tindakan polis untuk menurunkan papan iklan berkenaan adalah tepat dan mengikut peruntukkan undang-undang seperti yang terkandung dalam Akta Polis.

Isu papan iklan #BebasAnwar di beberapa lokasi di sini, Ampang, Subang Jaya, Klang mencetuskan polemik apabila ia dikatakan berbaur hasutan dan menghina keputusan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman ke atas Anwar.

Minggu lalu, Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos mengadakan demonstrasi termasuk membantah papan iklan berkenaan sehingga menyebabkan beliau disiasat polis.